Nadi Bangi
Pembukaan Semula Bazar Ramadan Di Dalam Bangunan Mara Kuala Lumpur
Oleh: Fatiha Mahmood
Penyunting: Haziq Maricar

Foto: Fatiha Mahmood
KUALA LUMPUR, 13 April - Majlis Amanah Rakyat (MARA) meneruskan acara tradisi tahunannya menganjurkan keistimewaan Bazar Ramadan di dalam ruang lega Ibu Pejabat Bangunan Medan MARA.
Keistimewaan bazar ini adalah lokasi bazarnya yang terletak di dalam bangunan pejabat kota bandaraya. Fokusnya adalah bertujuan untuk menarik pengunjung yang bekerja di kawasan sekitar ibu kota bandaraya Kuala Lumpur. Beberapa selebriti terkenal turut serta berniaga di bazar berkenaan dengan menawarkan produk dan fesyen jenama mereka seperti Mawar Rashid dan Adam Corrie di kawasan sekitar bazaar.
Pengerusi Persatuan Penyewa Medan MARA, Mahmood Bin Hussein berkata, bazar ini diadakan 33 hari bermula 13 April sehingga 15 Mei ini membabitkan peniaga yang menawarkan pelbagai pilihan barangan dan juadah berbuka puasa untuk menyambut Ramadan dan sambutan Aidilfitri.
“Kita menempatkan 38 gerai di Medan MARA yang terdiri 12 lot pakaian aksesori, 6 lot makanan kering, 17 lot luar bazaar Ramadhan yang menyediakan hidangan juadah berbuka puasa yang beroperasi pada jam 10 pagi hingga 8 malam.”
“Terdapat 3 kaunter Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) bagi mengawal SOP pintu keluar masuk pengunjung bazar, setiap 38 buah gerai yang terlibat ditempatkan dengan jarak 1 meter setiap kedai untuk mengimplementasi SOP yang telah ditetapkan oleh MKN,” katanya yang menambah, “lawatan telah diadakan oleh pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi membuat pemantuan mengenai bazaar yang akan berlangsung selama sebulan ini. Pihak MKN juga telah membuat pemantauan bagi memastikan perjalanan dan susun atur bazaar mengikut kesesuian garis panduan yang ditetapkan pihak MKN.”
Beliau berkata, tujuan utama pembukaan bazar berkenaan untuk membantu usahawan bumiputera yang menjual pelbagai jenis juadah makanan berbuka dan persiapan raya, pihaknya turut mengadakan pelbagai acara diadakan sepanjang berlangsungnya bazar berkenaan.