Nadi Bangi
Pembukaan Uniqlo Damansara Undang Kritikan Netizen?
Oleh: Najwa Syuhadah Mohd Hawari
Penyunting: Aisyah Masri

BANGI, 26 Dis- Susulan pembukaan cawangan baharu Uniqlo di Damansara Avenue, Petaling Jaya yang mendapat sambutan luar biasa dalam kalangan peminat pakaian dari Jepun itu, ia mengundang kritikan dari netizen gara-gara terdapat kebimbangan para pengunjung tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Beberapa video pendek memaparkan keadaan yang sesak dengan orang ramai di Uniqlo tersebut pada hari kejadian telah dikongsi di laman Twitter.
Rata-rata netizen melahirkan rasa bimbang di media sosial ekoran pembukaan premis berkenaan yang dibanjiri pengunjung sehingga pihak berkuasa terpaksa turun padang untuk mengawal keadaan tersebut.
“Nahh tudia jangan ada kluster uniqlo nanti sudah la,” Nadi Bangi memetik komen daripada pengguna Twitter @Kessmaess.
Terdapat juga netizen yang mempersoalkan tindakan orang ramai yang berebut-rebut mengunjungi premis berkenaan ekoran situasi pandemik di negara kita belum lagi reda.
“Esok lusa bangunan ni bergerak ke kalau tak datang hari ni? Yang pelik-pelik je la,” kata @HananIzwann di ruangan komen Twitter.
Beberapa pengguna media juga menzahirkan rasa marah dengan tindakan orang ramai yang mengunjungi premis berkenaan tanpa memikirkan keadaan semasa pandemik sedangkan masih terdapat banyak lagi cawangan Uniqlo yang lain di pusat membeli-belah.
“Gila ke apa. Uniqlo boleh dikatakan ada di setiap pusat membeli-belah. And they have a good online store. Kemaruk kenapa? Nak beli mask Uniqlo ke? At this rate you can spread Covid before you get your hand on it,” menurut @moozs.
Memandangkan kawasan parkir adalah terhad serta ditambah pula dengan jumlah pengunjung yang terlampau ramai, terdapat banyak kenderaan yang diparkir di tepi jalan sehingga menimbulkan kesesakan jalan raya.
Walau bagaimanapun terdapat juga netizen yang meninggalkan komen berbaur teguran yang menasihati orang ramai jangan terlampau tidak sabar untuk membeli belah di Uniqlo tersebut.
“Semata-mata mahu jadi antara terawal peroleh diskaun dan hadiah, kesihatan diabaikan. Jangalah ghairah sangat, esok lusa boleh pergi. Kedai ini 5 minit saja dari rumahku. Alah, kita tenang sahaja,” kata @iskandarocco.
Ekoran kejadian tersebut, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Nik Ezanee Mohd Faizal berkata, “Pengurusan memang mematuhi peraturan bagi mencegah penyebaran wabak Covid-19 dengan hadkan 50 pelanggan pada satu-satu masa. Namun, tidak ada penyelarasan bagi mereka yang berbaris di luar. Terdapat lebih 100 orang di luar,” katanya menurut sumber Malaysiakini.
Oleh itu, anggota polis dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengarahkan kedai itu ditutup untuk menangani orang ramai yang beratur di luar bangunan.
“Mereka diizinkan untuk dibuka semula pada jam 4 petang. Sekarang, ada barisan pengunjung yang lebih wajar di luar dan kami di sana untuk memantau keadaan,” tambah beliau lagi.
Setakat ini, pihak Uniqlo belum mengeluarkan sebarang kenyataan atau maklum balas berhubung isu ini.
Difahamkan tawaran istimewa yang dijanjikan pihak Uniqlo turut menjadi asbab kunjungan ramai di mana 500 pengunjung terawal bakal menerima ‘goodie bag’ dan mana-mana pelanggan yang membuat pembelian minimum sebanyak RM200 atau lebih menggunakan resit yang sama akan menerima beg barang Uniqlo sepanjang tiga hari bermula dari tarikh pembukaannya.