top of page
  • Writer's pictureNabila Najwa Saiful Azuwar

Pemuda Membuka Cafe Sambil Belajar Sepenuh Masa

Penulis: Nabila Najwa

Penyunting: Najwa Badjened


Sumber Foto: Nadi Bangi


KUALA LUMPUR, 24 Januari - Sudah menjadi impian Ibraheem Haq, 22 untuk membina perniagaan sendiri dengan membuka kafe sejak beliau berkecimpung dengan dunia perkhidmatan makanan dan minuman untuk beberapa tahun.


Kafe yang dinamakan flying solo yang bermodalkan sebanyak RM 90 000 ini akan dibuka secara rasminya pada pertengahan bulan Februari, terletak di Jalan H 3, Taman Melawati, Kuala Lumpur dan mereka akan menawarkan pembuatan kopi istimewa, kudapan ringan dan juga pastri.


“Keputusan untuk memulakan perniagaan ini sambil belajar sepenuh masa di Universiti telah menjadi cabaran yang paling besar untuk saya buat setakat ini,” katanya.


Beliau mendapat inspirasi untuk membuka kafe dari ibunya sendiri yang juga pernah mengusahakan kafe iaitu Hyacinth Cafe di Taman Desa Melawati yang kini telah menghentikan operasinya pada hujung bulan Mei, tahun lepas dan dari situlah beliau mula bekerja sebagai seorang barista merangkap pelayan kaunter hadapan dan pengurus selama 6 tahun.


Selain itu, beliau juga membina kemahiran untuk membuat kek sejak beliau berumur 13 tahun untuk mendapatkan wang saku sewaktu zaman persekolahan, yang telah memberikan beliau pengalaman selama 9 tahun dalam pembuatan kek.


Ibraheem juga menyatakan keistemewaan kafe ini yang membuatkan ianya lain dari yang lain iaitu mereka akan menggunakan jenis biji kopi dan menghidangkan makanan yang berlainan dari semasa ke semasa supaya pelanggan yang datang ke kafenya akan mengalami pengalaman ‘baharu’ yang akan memberikan mereka perasaan yang tidak jemu.


Antara pastri-pastri istimewa yang akan dihidangkan ialah cawan croissant dengan kastard berperisa, cruffins dan skrol kayu manis berlapis yang akan dihasilkan oleh Ibraheem sendiri.


“Saya mengharapkan orang ramai, terutamanya komuniti di taman ini dapat lihat membina perniagaan sendiri pada usia yang muda ialah peluang emas yang tidak boleh dilepaskan kerana ianya akan membantu dari segi perkembangan diri, lebih-lebih lagi jika anda mempunyai pengalaman yang banyak dan mencukupi,” tambah Ibraheem lagi.


Beliau juga berkongsi pengalamannya bekerja dengan ibunya selama 6 tahun telah memberikan banyak kemahiran lain seperti cara menguruskan perakaunan dengan cemerlang dan juga cara untuk berdikari dan pemikiran secara kreatif yang kini telah membantu beliau untuk mengusahakan perniagaan kafe miliknya sendiri.



43 views0 comments
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page