Oleh: Izzati Azali
Penyunting: Aina Safuan
Sumber Foto: Twitter
Kisah tular berkaitan rider makanan adalah salah satu topik yang dikatakan tak lekang dek panas, tak lapuk dek hujan di dada akhbar setiap hari. Pelbagai kes dan situasi buruk yang jelas tidak mungkin diingini oleh sesiapa sahaja untuk berlaku. Namun, sikap sesetengah pihak yang hanya hidup dalam dunianya sendiri telah menggunakan kelemahan tersebut sebagai titik tolak kepentingan diri sendiri.
Menurut perkongsian daripada laman sesawang KoolFM, perkara sebegini boleh dilihat melalui kes di mana salah seorang rider makanan Food Panda yang dicekik oleh salah seorang pelanggan akibat salah faham yang berlaku antara mereka. Video tersebut melibatkan rider makanan yang sedang bergelut dengan seorang lelaki yang dipercayai pelanggannya dalam kejadian yang berlaku di Pulau Pinang. Video berdurasi 20 saat itu menunjukkan, lelaki berbaju hitam iaitu pelanggan tersebut mencekik mangsa berkali-kali yang lemas tergapai-gapai dan mencuba untuk menepis bangkit. Tetapi usahanya itu hanya sia-sia apabila lelaki tersebut menghalangnya berbuat demikian.
Situasi itu turut difahamkan, pelanggan berkenaan dikatakan tidak berpuas hati apabila mangsa tidak menghantar pesanan makanannya sehingga ke depan pintu rumah. Sebaliknya, rider itu sebenarnya disahkan tidak dibenarkan untuk masuk oleh pengawal keselamatan atas sebab-sebab tertentu. Oleh hal demikian, pelanggan terbabit terpaksa turun ke pondok pengawal bagi mengambil pesanan tersebut. Malangnya, lain pula yang berlaku apabila pelanggan terbabit seolah-olah cuba mengambil kesempatan untuk bergaduh dengan rider berkenaan tanpa alasan yang munasabah. Situasi itu kemudian dilaporkan ke balai polis dimana pada masa itu juga telah difahamkan bahawa kes tersebut telah selesai, pelanggan terbabit mengaku bersalah di atas tindakannya yang melulu itu.
Secara izharnya, justifikasi berlakunya pidana pada kes tersebut adalah berkait rapat dengan nilai kemanusiaan yang perlu ada pada diri seseorang. Hal ini kerana, rohaniah dan insani hanya mampu dinilai melalui reaksi tingkah laku seseorang individu ketika berhadapan dengan satu situasi. Dalam kes ini, reaksi melampau pelanggan itu telah menunjukkan bahawa tugas rider makanan ini seolah-olah untung sabut timbul, untung batu tenggelam. Rencaman kekangan yang diharungi rider makanan sepatutnya perlu dipermudahkan oleh pihak pelanggan dalam situasi sebegini. Namun, sikap evasif yang ada pada diri rata-rata individu harini ini dilihat sukar untuk dihakis.
Selain itu, tular foto seorang lelaki yang telah dipercayai penghantar makanan yang tersadai kepenatan di tepi jalan. Menerusi Berita Harian, lelaki tersebut disahkan adalah pekerja Foodpanda yang dikatakan tidak mengalas perut dari pagi kerana terlalu sibuk mengejar dan mengotakan kesemua pesanan pelanggan pada hari terbabit. Oleh sebab terlalu kepenatan dan sudah tiada lagi daya tenaga, pekerja foodpanda itu dilihat pengsan terbaring tidak sedarkan diri di bahu jalan selepas menghantar pesanan yang terakhir pada tengah malam itu. Kes ini telah mengundang sebak dan sayu apabila melihat keadaan penghantar makanan yang keletihan itu, rata-rata netizen juga meluahkan rasa simpati dan kasihan melihat situasi rider tersebut. Komitmen rider dalam menjalankan tugas mereka sememangnya tidak boleh dipandang enteng oleh semua masyarakat kerana pencarian rezeki buat sesuap nasi untuk golongan rider ini dilihat sangat perit, sementelahan pula pada situasi penularan Covid-19 kini.
Sehubungan dengan itu, pekerjaan menjadi rider penghantaran pesanan juga jelas dilihat bukanlah semudah yang disangka, adakalanya dimana mereka menghadapi cabaran, rintangan dan kerenah pelanggan yang heterogen. Hal ini tidak lagi dinafikan dimana terdapat juga mereka yang teraniaya. Menurut pautan Online Diari Viral, tular di laman sosial tentang kisah seorang pelanggan yang membatalkan pesanan makanan yang mencecah ratusan ringgit melalui seorang rider Foodpanda baru-baru ini. Anas Mansor, 25 tahun telah meluahkan rasa terkilan dan kecewa yang teramat apabila pelanggannya memberikan alamat yang tidak tepat, sekali gus membuatkan dirinya terpaksa menunggu pada jangka masa yang cukup lama dengan berjemuran panas di bawah cahaya matahari terik.
Namun, apa yang lebih mengecewakan dimana pelanggan berkenaan tidak menjawab sebarang panggilan walaupun rider tersebut menghubunginya berkali-kali. Rider tersebut jelas kebingungan dengan sikap nafsi pelanggannya yang menimpa dirinya pada ketika itu. Rider tersebut kemudiannya hanya mampu bercadang untuk memberikan dan mengagihkan makanan tersebut kepada orang ramai di kawasan berdekatan. Tindakan pemurah penghantar makanan itu telah meraih pujian ramai warganet yang telah membanjiri ruang komen menerusi aplikasi TikTok dan lain-lain media sosial. Rata-ratanya mereka teruja melihat kebaikan yang ditunjukkan oleh rider tersebut walaupun pucuk pangkal dirinya yang telah dianiaya.
Sudah jatuh ditimpa tangga, itulah ungkapan yang sering dikatakan cukup sesuai dengan nasib penghantar makanan atau lebih selesa digelar “Rider”. Tugas pekerjaan sambilan ini yang sememangnya jelas diperlukan pada situasi gawat seperti sekarang dimana rakyat Malaysia tegas diarahkan untuk mengurangkan pergerakan sepanjang tempoh kerajaan dan rakyat yang bersama memikul tanggungjawab bagi memutuskan rantaian Covid-19 yang kian menular hari demi hari di negara ini. Walaubagaimanapun, tugas seorang rider makanan yang bertindak sebagai penghantar makanan tetap berjalan seperti biasa, malah lebih diberi tumpuan demi kelangsungan keperluan rakyat mahupun bagi pihak rider itu sendiri.
Malangnya, status rider makanan rata-ratanya hanya disamakan dengan robot yang tidak mempunyai perasaan. Mereka hanya diperkudakan, dipermainkan, dilatu sehingga menggamit mata-mata celik akal untuk membela dan bersuara tentang penat lelah rider makanan yang langsung tidak diendah malah lebih dikeji dan diperlekehkan. Pesanan makanan diletakkan di hadapan pintu rumah, pembungkusan yang rapi, tiada kecacatan, itulah ciri-ciri pesanan yang sememangnya dimahukan oleh semua pelanggan. Namun, kekurangan dari segi kelewatan masa, kecacatan pembungkusan menjadikan sesetengah pihak tiada hati perut atau belas kasihan sambil mendabik dada melemparkan pelbagai tomahan secara mental dan fizikal tanpa memikirkan perasaan rider yang menjalankan tugas mereka. Natijahnya, segala kemelut berkaitan penghantar makanan ini jelas memerlukan sinergi daripada semua pihak untuk sama-sama melakukan anjakan paradigma dari segi kemurnian kualiti komunikasi antara penghantar makanan dan pelanggan.
Komentáře