top of page
  • Writer's pictureNadi Bangi

Pendidikan Seksualiti Kanak-Kanak Perlu Kesedaran Bersama

Oleh: Aisyah Masri

Penyunting: Najwa Syuhadah


Sumber: Google


BANGI, 2 Jan – Nurin Jazlina Jazimin, 8 tahun telah dilaporkan hilang pada Ogos 2007 berhampiran kawasan rumahnya dan disahkan menjadi mangsa gangguan seksual dan deraan seks. Mayatnya ditemui dalam keadaan tidak berbaju dan diletakkan di dalam sebuah beg yang ditinggalkan di tangga sebuah premis perniagaan. Kisah jenayah seksual ini pernah menggemparkan rakyat Malaysia satu ketika dahulu dan sehingga kini masih diingati.

Saban tahun kes gangguan seksual kanak-kanak semakin hari semakin meningkat ke angka yang amat membimbangkan. Pada tahun ini sahaja, sejumlah 1,712 kes jenayah seksual terhadap kanak-kanak telah direkodkan dalam tempoh awal Januari sehingga pertengahan tahun lalu menurut Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Siti Zailah Mohd Yussof ketika persidangan Dewan Rakyat yang lalu menurut Berita Harian.

Di Malaysia penerapan pendidikan seksual telah wujud di sekolah melalui Pendidikan Kesihatan yang diterapkan di dalam beberapa silibus mata pelajaran seperti Biologi, Pendidikan Jasmani dan Kesihatan, Agama Islam serta Pendidikan Moral. Tetapi sejauh manakah keberkesanan usaha ini sekiranya tiada kerjasama dan sokongan daripada ibu bapa sendiri.

Menurut Pensyarah dan Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi, Unit Ginekologi Kanak-Kanak dan Remaja, Prof Dr. Ani Amelia Zainuddin berkata hampir 90 peratus penderaan seksual yang membabitkan kanak-kanak dan remaja tidak mempunyai bukti yang kukuh.

“Kekurangan bukti menyebabkan kes mereka tidak boleh dibawa ke Mahkamah," ujar beliau menerusi akaun Facebook.

Katanya lagi, terdapat ibu bapa yang memilih untuk berdiam diri kerana malu dan lebih rela melarikan anak yang mengalami penderaan dan gangguan seksual daripada mendapat pembelaan. Menurut pengalaman beliau, kebanyakan kes penderaan hanya disedari menerusi pengakuan kanak-kanak tersebut tanpa sebarang tanda yang dapat dijadikan bukti kerana insiden sudah lama berlaku tanpa pengetahuan ibu bapa mereka sendiri.

Anak-anak diibaratkan seperti kain putih yang bersih dan perlu dicorakkan dengan warna-warna kehidupan yang baik untuknya. Di usia yang masih setahun jagung, mereka masih lagi belajar tentang erti kehidupan terutamanya perkara apa yang mereka lalui seharian. Disebabkan itu, ibu bapa perlu memainkan peranan untuk sentiasa bersama mereka untuk mengajar hal-hal kehidupan.

Pendidikan merupakan salah satu aspek terpenting dalam kehidupan yang perlu diutamakan oleh ibu bapa. Tanpa pendidikan sudah tentu terdapat ruang kosong yang akan wujud di dalam diri kanak-kanak dan menyukarkannya untuk menjadi modal insan yang baik.

Selain pendidikan teras dan elektif yang dipelajari di sekolah, pendidikan seksual antara pendidikan yang signifikan untuk diperkenalkan awal kepada mereka. Bagi tujuan melindungi dan mendedahkan pendidikan yang berguna buat mereka nanti, ibu bapa perlulah bersikap terbuka dan bersedia dalam usaha untuk mendidik anak-anak.

Masyarakat juga perlu sedar bahawa pendidikan seksual adalah sangat penting dan seharusnya diterapkan kepada kanak-kanak seawal usia 3 hingga 4 tahun bagi melindungi mereka menjadi mangsa salah laku seksual pihak tidak bertanggungjawab dan penularan gejala negatif seperti seks bebas, kehamilan luar nikah, seks rambang dan lain-lain. Masyarakat perlu peka dan buang jauh-jauh stigma pendidikan seksual adalah pendidikan seks yang tidak boleh didedahkan awal kepada kanak-kanak kerana mereka belum matang.

Ibu bapalah individu yang bertanggungjawab sepenuhnya kepada anak-anak mereka. Ibu bapa perlu memainkan peranan dengan baik dalam mengajar pendidikan seksual ini di rumah dan tidak hanya bergantung harap kepada pihak sekolah semata-mata. Hal ini demikian kerana, ibu bapa yang sentiasa berada dekat di hati anak-anak dan boleh melihat segala perubahan terhadap anak-anak. Oleh itu, sebagai ibu bapa yang prihatin, merekalah yang paling layak menggalas tanggungjawab ini. Persoalannya, bagaimanakah cara yang betul dan sesuai untuk mendidik kanak-kanak mengenai pendidikan seksual ini supaya mereka faham dan boleh menerimanya dengan baik?

Langkah awal yang boleh dilakukan oleh ibu bapa untuk mendedahkan anak-anak dengan pendidikan seksual ialah dengan ibu bapa memperlihatkan anak-anak kepada beberapa contoh tentang salah laku seksual yang pernah terjadi kepada kanak-kanak lain sebelum ini. Dengan cara ini, mereka akan menjadi lebih peka terhadap isu semasa yang benar-benar terjadi yang mereka harus hindarkan.

Selain itu, ibu bapa juga perlu menekankan kepada anak-anak agar tidak menyimpan rahsia dengan ibu bapa mereka sendiri. Anak-anak perlu berasa selamat untuk bergantung kepada ibu bapa mereka supaya sekiranya berlaku sesuatu perkara terhadap dirinya, mereka percaya ibu bapa boleh menyelesaikan dan memahami masalah mereka. Dalam hal ini, ibu bapa perlulah sentiasa percaya dengan apa yang dikongsikan oleh anak-anak terutamanya hal-hal yang berkaitan dengan gangguan seksual yang dialami.

Mengajar anak-anak tentang kepentingan menjaga dan perkara berkaitan dengan bahagian anggota alat sulit adalah perkara yang paling penting dalam penekanan pendidikan seksualiti. Ibu bapa perlu terbuka dan tegas dalam mendidik perkara ini. Ajar anak-anak untuk kenali bahagian-bahagian sulit dengan terma yang betul serta bersesuaian dan tanpa berselindung untuk kedua-dua jantina. Elakkan menggunakan nama yang salah serta boleh menimbulkan kekeliruan kepada kanak-kanak. Hal ini penting untuk membuatkan mereka faham nama dan fungsinya yang betul. Ibu bapa juga perlu menegaskan kepada kanak-kanak bahawa apa-apa berkaitan dengan anggota sulit adalah privasi yang harus dijaga dan tidak boleh didedahkan kepada orang lain. Mereka perlu faham selain ibu bapa, tiada individu lain yang boleh melihat dan menyentuh bahagian anggota sulit mereka. Kanak-kanak harus kerap diingatkan sekiranya perkara sebegitu berlaku, mereka harus melaporkan kepada ibu bapa dengan segera tanpa perlu berasa takut.

Perkenalkan mereka dengan batasan-batasan yang perlu mereka tahu. Jangan benarkan sesiapa pun menyentuh anggota badan mereka seperti mulut, kemaluan, dada, punggung dan telinga tanpa tujuan tertentu dan izin daripada ibu bapa mereka sendiri. Larang mereka untuk berbuat perkara yang sama kepada orang lain. Hal ini demikian kerana, terdapat banyak kes salah laku seksual yang terjadi bermula daripada mangsa dipinta untuk menyentuh bahagian tertentu pelaku atau individu lain terlebih dahulu.

Kesimpulannya, pendidikan seksual adalah satu ilmu yang sangat penting untuk diperkenalkan kepada kanak-kanak sejak di awal usia lagi. Kepentingan pendidikan seksual bukan sahaja penting untuk kanak-kanak mengenali tentang ilmu tersebut semata-mata namun pendidikan ini adalah usaha kita sebagai orang dewasa untuk melindungi kanak-kanak yang tidak berdosa ini daripada terus menjadi korban jenayah salah laku seksual.

867 views0 comments

Comments

Rated 0 out of 5 stars.
No ratings yet

Add a rating
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page