top of page
  • Writer's pictureSiti Kamariah Sujeno

Penduduk Gempar Penemuan Mayat Terapung di Sungai Telok Datuk Banting

Penulis: Siti Kamariah Sujeno

Penyunting: Sharifah Nurhanni Fasihah Wan Narudin

Sumber Foto: Ahmad Zaidi


BANTING, 27 Jan- Penduduk di Kampung Datuk Banting digemparkan dengan penemuan mayat seorang lelaki tempatan dalam keadaan terapung di permukaan Sungai Telok Datuk Banting, Hulu Langat pada hari Jumaat yang lalu.

Mayat yang lengkap berpakaian itu dianggarkan berusia sekitar 30-an dijumpai oleh orang awam yang kebetulan menyeberangi Jambatan Teluk Datuk kira-kira pada jam 10.45 pagi.

Sarjan Operasi Daerah Banting, Sarjan Ahmad Zaidi Muhd Nor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai penemuan mayat tersebut pada jam 10.50 pagi sebelum mengerahkan beberapa orang anggota untuk bergegas ke lokasi berkenaan.

“Ketika tiba di lokasi, orang ramai telah mengerumuni sekitar sungai tersebut dan kelihatan mayat seorang lelaki dalam keadaan tertiarap timbul di permukaan tepi sungai,” katanya.

Menurut beliau, identiti mayat yang memakai baju berwarna putih itu tidak dapat dikenalpasti kerana tiada dokumen pengenalan diri dijumpai bersama mayat di lokasi kejadian.

Tambahnya lagi, proses menaikkan mayat tersebut dibantu oleh beberapa orang pasukan bomba dan penyelamat menggunakan bot sebelum diserahkan kepada pihaknya untuk tindakan selanjutnya.

“Pihak pasukan bomba dan penyelamat dari Balai Bomba Banting turut membantu untuk membawa naik mayat ke darat untuk tujuan pengecaman.

“Operasi menaikkan mayat tersebut tamat kira-kira pada jam 11.25 minit pagi sebelum mayat dihantar ke hospital berdekatan,” ujarnya.

Beliau turut memberitahu, siasatan awal di tempat kejadian mendapati bahawa tiada sebarang unsur jenayah ditemui ke atas mayat.

“Pihak kami tidak menemui sebarang kesan mencurigakan yang boleh dikaitkan dengan jenayah dan kami tidak boleh membuat sebarang andaian sehingga lah ada bukti daripada pihak hospital,” katanya.

Ahmad Zaidi berkata, mayat kemudiannya dihantar ke Hospital Banting pada jam 12.30 tengah hari bagi tujuan bedah siasat untuk mengenalpasti punca kematian.

“Mayat tersebut akan menjalani proses bedah siasat yang dijalankan oleh pihak forensik bagi mendapatkan maklumat identiti mangsa untuk mengesan dan memaklumkan kepada ahli keluarga atau waris terdekat,” katanya.

65 views0 comments
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page