• Nadi Bangi

Penduduk Putrajaya Keliru Status Harga Ayam

Oleh: Seri Haidah Jaapar

Penyunting: Nadia Nurshazira Mohd Sharani


Harga ayam segar di pasar raya Putrajaya.


PUTRAJAYA, 20 April – Pengenalan Skim Harga Maksimum (SHMMP) Hari Raya Puasa 2021 bagi harga ayam yang diperkenalkan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, baru-baru ini dilihat gagal mendapat reaksi positif khususnya buat penduduk di sekitar Putrajaya.


Segelintir penduduk di Putrajaya merasakan SHMMP bercanggah dengan tujuan utama inisiatif tersebut iaitu untuk melindungi pengguna daripada peniaga-peniaga yang mengaut keuntungan berlebihan dan meluahkan rasa kecewa terhadap harga siling ayam standard pada RM7.90 sekilogram (kg) yang masih dikatakan tinggi.


Menurut Madi, 55, yang merupakan salah seorang daripada penduduk Putrajaya, “Masalah kos makanan ayam yang diimport yang menyebabkan harga naik dan berpunca daripada segi pertukaran wang asing.” Katanya lagi, “Malaysia perlu menggunakan duit yang banyak untuk membeli barang makanan yang sedikit dan makanan tempatan tidak sesuai untuk ayam ternakan di Malaysia. Hal ini demikian kerana, ayam ternakan Malaysia makan dedak daripada Amerika.”


Beliau tidak bersetuju dengan kawalan harga musim perayaan tahun ini kerana tidak menguntungkan para pengguna. Beliau juga menggesa agar pihak kerajaan untuk membuat kawalan di peringkat pemborong dengan lebih ketat dan pengguna akan berpuas hati jika harga siling ayam standard ditetapkan pada RM7.50 sekilogram sahaja.




Sumber: Laman web rasmi KPDNHEP.


Skim yang diumumkan pada peringkat pertama ini mengawal sebanyak 12 barangan termasuk harga ayam yang dikhabarkan dijual dengan harga mencecah RM10.00 per kg adalah tindakan yang “wajar” bagi seorang lagi penduduk Putrajaya, Norhashimi, 41.


“Harga RM7.50 masih boleh diterima lagi untuk musim perayaan sahaja dengan kos pengeluaran ayam, saya rasa harga ini munasabah,” kata Norhashimi.


Sharida, 37, pula merasakan Skim ini wajar tetapi kurang bersetuju kerana memerlukan beliau untuk membuat tinjauan dan membandingkan harga antara peniaga terlebih dahulu.


“2 minggu lepas saya membeli ayam dengan harga lebih kurang RM6.99 sekilo[gram] tetapi minggu ini harga naik lagi. Biasanya saya beli RM5 lebih [sekilogram] sebelum musim raya. Harga siling yang baru ini memang sangat terkesan. 1 ekor kadang-kadang hampir 2 kilogram. Sebelum ini, kalau harga RM15 boleh dapat 2 ekor ayam,” tambah Sharida.


Tarikh penguatkuasaan Skim ini bermula daripada 21 April sehingga 20 Mei 2021. Tempoh kuat kuasa bagi SHMMP Hari Raya Puasa adalah selama 30 hari iaitu selama 22 hari sebelum perayaan, pada hari perayaan dan 7 hari selepas hari perayaan.


Menurut Datuk Seri Alexander, amaran akan dikeluarkan sekiranya peniaga dengan sengaja menaikkan harga barangan tanpa alasan yang munasabah dengan niat untuk mengaut keuntungan yang tinggi secara berlebihan. KPDNHEP boleh bertindak di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 melalui Peraturan-Peraturan Kawalan Harga dan Antipencatutan.


Tambahan pula, notis di bawah Seksyen 21 Akta turut dikeluarkan dan dikuatkuasakan dengan tegas ke atas mana-mana pihak yang didapati menaikkan harga secara mendadak bagi mendapatkan penjelasan.


Di bawah Skim ini, beberapa jenis barang keperluan dikenalpasti sebagai barangan harga terkawal musim perayaan untuk ditetapkan dengan harga maksimum di peringkat pengeluar, pemborong dan peruncit dalam suatu tempoh masa tertentu. Skim ini dilaksanakan di seluruh Malaysia dan harga yang ditetapkan adalah berbeza mengikut kawasan dan daerah tertentu.


Sehingga kini, musim perayaan merangkumi Hari Raya Puasa, Tahun Baru Cina, Deepavali, Hari Krismas, Pesta Kaamatan dan Hari Gawai.


Sumber maklumat penguatkuasaan SHMMP adalah dari laman web rasmi KPDNHEP.


106 views0 comments

Related Posts

See All