top of page
  • Writer's pictureNadi Bangi

Penduduk Sungai Buloh Kecewa Terputus Bekalan Air

Penulis: Kanaga Suntari Sundra Sakaran

Penyunting: Muhammad Amirul Akmal

Foto: Kanaga Suntari Sundra Sakaran

SUNGAI BULOH, 14 Nov – Gangguan bekalan air berada pada tahap yang membimbangkan sehingga menjejaskan peniaga di kawasan Sungai Buloh selama 2 hari pada minggu lepas.


Antara kawasan yang terlibat adalah Sungai Plong, Sungai Buloh, Bandar Baru Sungai Buloh, Kampung Paya Jaras, Kuang, Kg. Merbau Sempak, Saujana Utama, dan Bukit Rahman Putra.

Disebabkan itu, peniaga-peniaga yang berada di sekitar kawasan Sungai Buloh turut terjejas dan tidak dapat menjalankan aktiviti harian seperti biasa tanpa bekalan air. Pemotongan air secara tiba-tiba menyebabkan penduduk kelam-kabut untuk membeli air minuman di kedai-kedai berhampiran.


Menurut Kamachie Muniandi, 56 pengurus kedai runcit, mengatakan bahawa pemotongan air paip secara tiba-tiba menyebabkan mereka sekeluarga panik dan melambatkan kerja-kerja seharian. Walaupun mereka mempunyai bekalan air minuman di dalam botol namun ia tidak mencukupi untuk aktiviti pembersihan seperti mandi-manda dan mencuci kain.


“Di kawasan kedai saya, kami selalu mengalami masalah gangguan bekalan air. Kadang kala seminggu 3 kali berlaku gangguan bekalan air. Saya sebagai seorang peruncit menghadapi banyak masalah disebabkan gangguan air kerana kami perlu menyiang ikan, memotong ayam, mencuci sayur-sayuran sebelum menyusun dan sebagainya.” Katanya lagi.


Beliau menyatakan bahawa hal ini turut menghadkan penggunaan tandas kepada pelanggan yang ingin menggunakannya pada waktu kecemasan.


Perkara ini diakui dengan Vijay Kumar, 63 salah seorang peniaga sayur, menyatakan bahawa masalah bekalan air sering terjadi di kawasan Sungai Buloh disebabkan pemecahan paip di bawah tanah. Hal ini sememangnya mengganggu aktiviti masyarakat sehingga menyebabkan kebanyakan penduduk tidak dapat bekerja.


“Kawasan saya adalah kebun menanam sayur. Jadi saya perlu menyiram air setiap hari pada waktu pagi dan petang. Jika saya tidak menyiram untuk sehari, maka hari kedua sayur sayuran semua akan hilang kesegaran. Bukan itu sahaja, saya perlu mengantar sayur sayuran ke restoran, jadi saya perlu mencuci pasir-pasir yang melekat pada sayur itu. Jika tidak dibersihkan, orang restoran pula tidak ingin membeli sayur. Masalah ini sering berlaku di tempat saya.”


Menurutnya lagi, beliau berharap pihak berkuasa dapat menyelesaikan masalah ini. Walaupun pihak Syabas sering kali membuat pembaikan paip air di bawah tanah, namun begitu masalah pemotongan paip ini tetap terjadi di kawasan ini.


Menurut Faizal, 43 yang merupakan pengurus kedai sofa, di kawasan tersebut berkata beliau ingin pihak berwajib tahu bahawa penduduk di kawasan tersebut mengalami gangguan air hampir setiap hari selama lebih kurang 5 jam, setengah hari mahupun sepenuh hari. Beliau juga turut menyatakan bahawa peniaga-peniaga di kawasan sekitar amat terkesan dengan gangguan bekalan air tersebut.


Beliau berharap pihak yang berkenaan dapat mencari cara menyelesaikan masalah gangguan air dengan segera.


Pihak nadi bangi cuba mendapatkan maklumat mengenai masalah ini menerusi laman web Air Selangor Sdn Bhd namun tiada sebarang makluman rasmi berkenaan isu ini.



154 views0 comments
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page