top of page
  • Writer's pictureNadi Bangi

Penemuan Vaksin COVID-19 Jejaskan Harga Pasaran Emas Dunia

Oleh: Amirul Naim Baseri

Penyunting: Alis Awasi

Sumber: Harian Metro


BANGI , 6 Dis: Pengumuman mengenai penemuan vaksin COVID-19 oleh firma Amerika Syarikat (AS) dan Jerman, Pfizer Inc dan BioNTech bagi mencegah jangkitan telah menjadi faktor utama penurunan harga emas secara mendadak sejak kebelakangan ini.

Namun demikian, harga emas kini terus bergelut dengan penurunan harga selama berbulan lamanya setelah mencapai paras tertinggi harganya dalam sejarah iaitu AS$1,930.48 (RM8,209.61) untuk seauns (kira-kira 28.34 gram) pada penghujung Julai


Menurut sumber dari livemint.com, kehadiran vaksin Pfizer dengan peratusan keberkesanan 90% dalam mencegah jangkitan virus COVID-19 telah memberi keyakinan buat orang ramai untuk menjalani rutin harian seperti sediakala. Oleh itu, kebanyakan pelabur serta masyarakat kini kurang berminat untuk menjadikan emas sebagai aset selamat, malah ada di antara mereka telahpun mencairkan simpanan emas untuk membantu menyuntik dana bagi sektor ekonomi negara.


Melalui laman tradingview.com jangkaan penurunan harga semasa emas masih tidak dapat diramalkan lagi kerana ianya bergantung kepada berita yang dilaporkan oleh pihak media.

Merujuk laporan daripada Bernama, perunding pelaburan Emas Syukor Hashim menyatakan “Harga emas menurun disebabkan oleh beberapa faktor yang tak menentu seperti kemenangan Joe Biden sebagai presiden di Amerika Syarikat, dasar bank pusat dan sebagainya”


“Kami menjangkakan vaksin siap pada akhir tahun ini. Kami juga menjangkakan penurunan harga emas apabila vaksin ini siap. Harga emas akan berubah mengikut sentimen risiko yang diperbaharui”, tambah beliau.


Berikutan penurunan harga itu, orang ramai berpusu-pusu menyerbu kedai emas masing-masing untuk mengambil peluang membeli barang kemas sebagai simpanan pelaburan. Hal ini turut didorong dengan perkongsian beberapa orang awam di laman media sosial Twitter berkenaan kebaikan pelaburan emas dan ramalan harga emas yang mungkin naik secara mendadak menjelang tahun 2021.


Nadi Bangi sempat memetik komen @mSidekJ yang menyatakan kadar harga emas berubah disebabkan oleh ketidakstabilan ekonomi.


“Harga emas ini berkadar tidak langsung dengan kekukuhan ekonomi. Few months after covid, harganya akan naik mencanak-canak sebab ketidakpastian ekonomi”, komennya di Twitter


Pengguna @embunkarinapoet pula menerusi ciapannya menyatakan “Siapa yang nak bertunang atau berkahwin tu elok beli cincin awal sikit sebelum emas mendadak naik harga. Nanti 3 gram nak dekat 1k terciduk awak. Belum termasuk upah lagi tu.”

Nadi Bangi juga sempat menemu ramah salah seorang pengumpul emas yang tegar, Azzahra Che Mat yang berpendapat sekarang merupakan masa terbaik untuk membeli dan menyimpan emas kerana emas merupakan aset yang kukuh dan stabil untuk jangka masa yang lama.


“Penurunan harga emas perlu dimanfaatkan dengan pembelian emas bagi tujuan pelaburan atau simpanan kerana sifatnya yang kukuh dan stabil untuk jangka masa yang lama”, katanya.


Namun begitu, adalah lebih baik untuk orang ramai mengenal pasti tujuan mereka membeli emas sama ada untuk pelaburan jangka masa panjang atau sekadar mengikut hawa nafsu semata mata. Hal ini bagi mengelakkan kekecewaan di kemudian hari berikutan pembelian emas tanpa ilmu.

2,081 views0 comments

留言

評等為 0(最高為 5 顆星)。
暫無評等

新增評等
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page