Penulis : Kuvineshwaren Nedunjelian
Penyunting : Muhammad Akmal Arfan Roslan
Naib Canselor UKM, Prof Dato’ Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman, turut meluangkan masa menyaksikan proses penyerahan Peranti Siwa di Pusanika. Sumber Foto: Facebook UKMsiswaklik
Bangi, 29 Okt - Sekitar 7000 tablet Peranti Siswa Keluarga Malaysia telah diagihkan kepada para pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) termasuk Kampus Bangi, Kuala Lumpur dan Cheras dari 20 Oktober hingga 28 Oktober.
Seramai 7591 pelajar UKM telah mendapat kelulusan menerima tablet Peranti Siswa, namun hanya 7225 pelajar yang menerima dan baki seramai 366 pelajar belum mengambilnya.
Menurut pegawai Ketua Unit Kebajikan, Kemudahan dan Penjanaan Pendapatan, Pusat Hal Ehwal Pelajar (HEP-UKM), Abdul Qaiyum Bin Borhan berkata UKM merupakan universiti kedua tertinggi selepas UITM yang menerima kelulusan peranti sebanyak 7000 lebih.
Bagi langkah keselamatan, pihak UKM telah menyediakan bilik pergerakan HEP dan sentiasa dikawal oleh pengawal bertujuan meletakkan peranti. Sebanyak 1500 tablet diperuntukkan pada setiap hari bagi pihak vendor membawanya ke Pusanika. Namun pada hari kedua pihak vendor membawa sebanyak 2000 tablet kerana faktor kebanjiran pelajar.
“Bagi memudahkan proses pengagihan peranti, kakitangan HEP dibantu oleh Majlis Perwakilan Pelajar, pelajar UKM dan semua dibayar upah,” katanya.
Pihak HEP juga mengalami banyak cabaran dalam proses mengedarkan peranti. Hal ini kerana pelajar tidak hadir mengikut hari yang ditetapkan atas sebab-sebab tertentu. Oleh itu, pihak HEP sukar untuk menganggarkan dan memperuntukkan bilangan tablet yang diperlukan pada setiap hari. Seterusnya, dari segi tempat letak kenderaan juga mengalami masalah kerana semua tempat sudah berpenuh, kata Abdul Qaiyum Bin Borhan.
Nasuha Anssari, 22, pelajar tahun 3 Ijazah Sarjana Muda Sains Nuklear berkata “Tablet ini sangat berguna kepada saya kerana tablet ini didatangkan sekali dengan papan kekunci yang dimana tablet ini boleh menggantikan laptop pada umumnya. Seperti kita tahu, laptop agak berat untuk dibawa kemana-mana tetapi dengan adanya tablet, sangat memudahkan urusan saya. Saya menggunakan tablet ini untuk membuat nota dan menambah nota dalam slaid yang telah disediakan oleh pensyarah.”
Nasuha juga mencadangkan agar agihkan tablet mengikut fakulti dan dilakukan di tempat yang lebih besar seperti pengagihan kad siswa. Beliau berasa teknik ini akan mempercepatkan urusan pelajar mengambil tablet Peranti Siswa.
“Dengan tempat yang luas, tidak membuatkan suatu tempat itu nampak terlalu sesak,” katanya.
Kamielia Mohd Yazimi, pelajar tahun 2 Ijazah Sarjana Muda kerja sosial, juga merupakan penerima tablet peranti siswa. Beliau amat gembira setelah menerima peranti siswa kerana bagi beliau ia akan memberikan kemudahan untuk melakukan kerja. Tujuan beliau memohon peranti siswa adalah untuk melakukan nota setiap subjek dan membuat kerja media seperti poster dan proses menyunting video menggunakan peranti siswa. Namun, beliau tidak begitu puas dengan proses pengagihan peranti.
“Sejujurnya, saya agak kurang berpuas hati kerana proses pengagihan itu agak lama dan mengambil masa hingga 3-4 jam,” katanya.
Pengagihan Peranti Siswa di UKM turut dimeriahkan dengan kehadiran Pengarah Pusat Hal Ehwal Pelajar (HEP-UKM), Prof. Ts. Dr. Norinsan Kamil Othman di pusanika.
Comentarios