top of page
  • Writer's pictureNadi Bangi

Pengalaman Nadi Bangi Menjejak Mangsa Banjir

Oleh: Aisyah Masri

Penyunting: Najwa Syuhadah

Belum pun reda dengan kemelut peningkatan penularan jangkitan wabak COVID-19 yang melanda negara kita. Kini, negara dikejutkan pula dengan kemelut bencana alam banjir yang melibatkan tiga buah negeri di Malaysia iaitu Pahang, Kelantan dan Terengganu sehingga meragut banyak nyawa dan kemusnahan harta benda.

Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), di Pahang sahaja seramai 19,527 mangsa daripada 5,198 keluarga kini ditempatkan di 247 pusat pemindahan sementara (PPS) yang disediakan di sembilan daerah negeri tersebut.

Pada tanggal 10 Januari 2020 yang lalu, penulis telah menyertai satu misi bantuan bencana alam banjir di daerah Dong, Pahang. Bantuan telah diagihkan kepada penduduk-penduduk di Dong, Pahang dan sekitarnya sahaja kerana ketika itu laluan untuk ke Kuala Lipis masih ditutup ekoran keadaan jalan masih dipenuhi air banjir dan agak berbahaya untuk dilalui.


Persoalannya, sepanjang perjalanan berada di sana penulis hairan melihat keadaan penduduk di sana yang sangat mesra dan seolah-olah mereka sedang tidak diuji dengan ujian besar yang menimpa mereka. Sedangkan jika dilihat daripada mata kasar keadaan sekeliling kampung tersebut sememangnya dalam keadaan yang sangat menyedihkan. Banyak rumah yang musnah akibat ditenggelami air banjir serta mereka kehilangan harta benda dan ketika itu keadaan paras air sungai dikawasan tersebut juga masih dalam paras yang berbahaya.

Satu perkara yang telah menarik minat penulis ketika misi bantuan banjir ini dijalankan adalah tentang bagaimana penduduk kampung di sini mengadaptasikan keadaan yang mereka sedang lalui dan berkerjasama mengatasi kesulitan tersebut sehingga dugaan yang berat dapat digalas bersama. Bak kata pepatah, berat sama dipikul ringan sama dijinjing.

Penulis dapat melihat dengan jelas wujud semangat kerjasama yang ditunjukkan oleh orang kampung sepanjang mereka menghadapi ujian banjir di mana telah mereka melakukan pembahagian tugas yang di buat bersama-sama anggota keluarga dan jiran tertangga di sekitar kawasan kampung mereka.

Para wanita ditugaskan untuk bergotong-royong memasak dan menyediakan makanan untuk dijamukan kepada orang kampung. Usaha ini dilakukan kerana terdapat kekangan dan kesukaran untuk mereka mendapatkan sumber makanan dan memasak secara bersendirian akibat banjir. Justeru, mereka menjadikan satu kawasan lapang sebagai pusat untuk mengendalikan makanan buat masyarakat kampung.

Seterusya, penduduk kampung tersebut juga turut mewujudkan kumpulan yang menguruskan aktiviti pembersihan dan penyelenggaraan yang kebanyakannya dianggotai oleh kaum lelaki. Mereka membersihkan kawasan luar dan dalam rumah yang sudah tentu dipenuhi dengan lumpur. Mereka secara beramai-ramai bergerak membersihkan rumah orang kampung dari satu rumah ke satu rumah yang lain secara sukarela. Aktiviti yang dilakukan adalah seperti membakar barangan yang tidak boleh digunakan lagi, mencuci kediaman atau barangan yang masih elok, memindahkan barangan dan lain-lain.

Semangat kekeluargaan dan bersatu padu tanpa mengira bangsa yang ditunjukkan benar-benar mengajar penulis tentang erti kehidupan bermasyarakat. Walaupun mereka diuji dengan sebegini berat tetapi mereka tetap tabah dan harungi ujian ini dengan penuh kesabaran.



Selain itu, sewaktu penulis berada di sana beberapa penduduk kampung juga tidak lokek untuk berkongsi pengalaman mereka bersama penulis. Menurut salah seorang penduduk kampung, fakta menarik yang dikongsikan bersama penulis adalah tarikh kejadian banjir yang melanda negeri Pahang tahun ini adalah tanggal yang sama berlakunya banjir besar yang pernah melanda negeri Pahang pada tahun 1971 yang lalu.

Menurut beliau, banjir besar di Pahang pada tahun 1971 telah menyebabkan seramai kira-kira 40 000 ribu orang mangsa terpaksa dipindahkan dan negeri Johor dan Selangor juga antara negeri yang paling terkesan akibat bencana tersebut. Lantaran itu, Perdana Menteri ketika itu Tun Abdul Razak telah mengisytiharkan Darurat Banjir Kebangsaan di seluruh negara pada tanggal 5 Januari 1971.

Dalam pada masa yang sama, Ketua Kampung Daerah Dong, Haji Abdul Yahya bin Haji Abdul Kadir yang turut ada bersama penulis sepanjang misi dilaksanakan bersetuju bahawa banjir di Pahang kali ini merupakan antara banjir terburuk yang pernah terjadi semenjak 50 tahun yang lalu iaitu pada tahun 1971. Tambah beliau lagi, bahawa seramai 2427 keluarga telah terlibat dalam bencana alam banjir tahun ini. Seramai 891 mangsa telah dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara untuk bantuan penempatan dan keperluan telah diberikan.

“Kita telah mengenal pasti mangsa-mangsa yang terlibat. Bantuan juga sudah diberikan dan masih berjalan secara berkala. Kita juga dalam usaha untuk merangka perancangan untuk membangunkan semula Dong dan membantu mangsa yang terlibat. Banjir kali ini banjir yang lebih dasyat berbanding banjir yang pernah berlaku sebelum ini. Kita harap semua dapat mendoakan kami agar segalanya dipermudahkan”, kata beliau kepada penulis.

313 views0 comments
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page