Nadi Bangi
Pengangkutan Ikonik Pulau Pinang Bakal Dihentikan Operasi?
Oleh: Farah A’lia Manan
Penyunting: Raihan Rahim

GEORGETOWN, 26 Dis – Penduduk tempatan melahirkan rasa sebak dan kecewa apabila perkhabaran penamatan perkhidmatan pengangkutan ikonik , Feri Pulau Pinang yang dikatakan bakal digantikan dengan bot penumpang laju bermula 1 Januari 2021.
Setelah berkhidmat sebagai pengangkutan ikonik di Pulau Pinang selama 126 tahun, Feri Pulau Pinang kini dipercayai akan menjadi nostalgia dan akan ditukarkan dengan bot penumpang laju katamaran yang hanya akan membawa penumpang pejalan kaki berkapasiti 200 orang manakala feri lama hanya boleh digunakan oleh penunggang motosikal dan basikal.
Menurut Sinar Harian, Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP), Datuk Tan Teik Cheng berkata, Penang Port Sdn Bhd (PPSB) akan menyediakan perkhidmatan katamaran atau teksi air untuk penumpang bagi menggantikan feri sebelum ini.
“Perkhidmatan feri untuk kenderaan empat tayar tidak lagi disediakan bermula 1 Januari ini. Kesemua kenderaan tersebut perlu menggunakan Jambatan Pulau Pinang atau Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah seperti yang diputuskan Jemaah Menteri,” katanya.
Walau bagaimana pun, bagi mengekalkan nilai sejarah dan elemen ikonik Pulau Pinang, SPPP akan menempatkan dua buah feri sedia ada di Tanjung City Marina.
“Feri-feri ini akan diubah suai sebagai restoran dan muzium terapung. Ia tidak akan bergerak, hanya diletakkan di Tanjung City Marina sahaja.
“Tujuan ia diletakkan di situ adalah bagi mengekalkan nilai sejarah dan elemen ikonik Pulau Pinang. Pemilihan Tanjung City Marina pula adalah kerana ia merupakan lokasi paling strategik,” katanya.
Perkhabaran penamatan perkhidmatan feri ni mendapat reaksi yang pelbagai daripada pengunjung terutamanya penduduk di Pulau Pinang yang sudah terbiasa dengan pengangkutan ikonik ini dan ada yang kurang bersetuju dengan keputusan tersebut.
Nadi Bangi sempat memetik komen daripada akaun Facebook @Ct Min yang meluahkan pendapat beliau tentang perkhabaran penamatan khidmat Feri tersebut.
“Feri lama ni trademark untuk Pulau Pinang,kalau dah tak ada, hilang dah penyerinya dalam Malaysia, sayang betul kalau dah tak ada,”katanya.
Turut meluahkan rasa pilu, Nadi Bangi sempat memetik komen daripada akaun Facebook @Sharul Effendy yang mengatakan bahawa “Hilang satu daya tarikan Pulau Pinang,bukan masalah feri lama atau feri lambat, ramai orang luar masuk Penang semata-mata seronok naik feri terbuka macam tu, slow tengah laut, santai sambil menikmati suasana, sentimental value feri lama ni lain sikit,” katanya.
Pemegang akaun Twitter @Cikpahhhh turut meluahkan rasa sebak. “Benda paling sebak pernah aku dengar untuk tahun ni, aku orang Penang pun baru nak merasa tunjuk dekat anak cucu hm mengapa oh mengapa,” katanya.
Namun menurut akhbar Harian Metro,atas usaha keras daripada pihak kerajaan, kerajaan meluluskan peruntukan RM30 juta bagi memastikan kelangsungan operasi perkhidmatan feri di Pulau Pinang.Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, peruntukan itu akan dibayar kepada Pelabuhan Pulau Pinang sebagai badan yang mengambil alih operasi perkhidmatan pengangkutan terbabit.