Nadi Bangi
Pengguna Apple Kecewa dengan Aplikasi Easywheels
Updated: May 8
Penulis: Ong Wei Chin
Penyunting: Teoh Chia Qi

Sumber Foto: Nadi Bangi
BANGI, 18 April - Para pelajar yang menggunakan telefon pintar jenama Apple dalam kalangan pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) kecewa kerana tidak dapat memuat turun aplikasi basikal elektrik, iaitu Easywheels sejak kewujudan tapak pengambilan dan pemulangan basikal elektrik Easywheels pada awal bulan April.
UKM merupakan universiti pertama yang dipilih untuk dijadikan lokasi penempatan basikal elektrik syarikat tersebut. Namun, pengguna IOS gagal menggunakan basikal kerana terdapat masalah teknikal pada aplikasi Easywheels dalam Apple Store.
Menurut salah seorang pengguna IOS yang dikenali sebagai David Ling Chun Sing, pelajar UKM (Ijazah Sarjana Muda Media dan Komunikasi, 2), berasa tidak adil kerana pengguna Android dapat menggunakan basikal yang memudahkan mereka sebaliknya pengguna IOS tidak berhak untuk berbuat demikian.
“Walau bagaimanapun, saya percaya bahawa syarikat tersebut mempunyai sebab mereka yang tertentu tetapi hakikatnya mereka telah mengakibatkan kami tidak dapat menggunakan basikal,” katanya.
Menurut Zal Hasmi Mohamad Roslan, pelajar UKM (Ijazah Sarjana Muda Sains Sekitaran, 3), dia menghargai inisiatif yang telah dilakukan dengan meletakkan kemudahan di kawasan pelajar, tetapi keadaan telah dirumitkan apabila dia terpaksa meminjam telefon pintar yang berjenama Android rakannya untuk mendapatkan akses basikal tersebut.
“Kesannya, timbulnya masalah had untuk mengakses kemudahan ini (basikal elektrik) dalam kalangan pengguna sistem IOS ataupun Iphone. Oleh itu, sekiranya fokus utama pemberian kemudahan ini adalah kepada seluruh pelajar UKM, maka, perkara ini tidak dapat dicapaikan secara tidak langsung kerana terdapat jurang pemisah yang ketara daripada cara untuk mengakses kemudahan basikal menggunakan telefon pintar,” katanya.
Selain itu, menurut Noor Syamimi Mohamad Nazri, pelajar UKM (Ijazah Sarjana Muda Sastera Sejarah, 3), dia telah berkata bahawa disebabkan aplikasi Easywheels ini hanya boleh diguna pakai oleh pengguna Android pada masa sekarang, keadaan ini telah mendatangkan kesukaran kepada pengguna IOS yang hendak menggunakan kemudahan basikal yang disediakan.
“Saranan saya adalah pihak yang terlibat boleh menyediakan akses perkhidmatan aplikasi Easywheels kepada mana-mana gajet sama ada Android mahupun IOS untuk memudahkan pengguna,” katanya.
Kekangan ini telah menyusahkan pelajar yang sepatutnya memudahkan mereka serta menimbul perasaan marah dan tidak adil dalam kalangan pelajar.
Pihak Nadi Bangi cuba mendapatkan balasan daripada pihak Easywheels tetapi gagal. Namun, Ketua Exco Sukan dan Rekreasi Kesatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (KMUKM), Muhammad Hafiz bin Narrudin, telah dimaklumkan oleh pihak Easywheels bahawa aplikasi Easywheels boleh dimuat turun melalui Apple Store mulai 2 Mei 2023.
Di samping itu, menurut sumber dari laman sesawang Easywheels, terdapat juga basikal elektrik sebegini ditempatkan di institusi pengajian tinggi lain seperti International Islamic University Malaysia (UIA) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan inisiatif memudahkan pergerakan pelajar dalam universiti serta mengembangkan perniagaan mereka.