Chua Yung Qi
Penghuni KIZ Terkesan Akibat Gangguan Bekalan Elektrik Yang Kerap
Penulis: Chua Yung Qi
Penyunting: Ahmad Hasif bin Halimi

Sumber Foto: Laman UKM
Bangi, 16 Dis - Lebih 200 orang penghuni Kolej Ibu Zain terkesan akibat gangguan bekalan elektrik yang berlaku pada 12 Disember walaupun tiada ribut petir.
Difahamkan, gangguan berkenaan berlaku hampir setiap minggu di blok kolej kediaman tetapi gangguan pada hari tersebut telah berlaku sebanyak 7 kali sehingga menyukarkan penghuni untuk menjalankan aktiviti seharian.
Salah seorang penghuni warganegara China yang dikenali sebagai Zhi Cheng, (Ijazah Sarjana Muda Pendidikan, 3) berkata gangguan bekalan elektrik telah banyak mempengaruhi pembelajaran atas taliannya.
“Masalah yang paling serius adalah capaian Internet. Apabila berlakunya gangguan bekalan elektrik, capaian internet akan putus dan kami tidak dapat menyambung kelas atas talian,” katanya.
Mengulas lanjut, Zhi Cheng berkata bahawa keadaan ini banyak menjejaskan pembelajarannya khususnya apabila dia sedang membuat pembentangan ataupun menyiapkan kuiz atas talian.
“Saya terpaksa dikeluarkan daripada kelas atas talian secara tiba-tiba dan perlu menunggu sehingga juruteknik datang memulihkan bekalan elektrik. Capaian internet bukan semestinya ada walaupun bekalan elektrik kembali.
“Lagi, Kolej Ibu Zain dikatakan kolej yang terbaik di universiti ini. Yuran bulanan untuk kolej ini bukannya murah, tetapi keadaan seperti ini kerap berlaku dan amat menyusahkan kehidupan pelajar.” katanya.
Pembayaran yuran di kolej premium ini adalah lebih mahal berbanding kolej lain di Universiti Kebangsaan Malaysia. Yuran bulanan untuk bilik perseorangan adalah sebanyak RM680 manakala yuran untuk bilik perkongsian adalah berharga RM490.
“Walaupun juruteknik datang membaiki setelah mendapat laporan daripada kami, tetapi keadaan ini berlaku secara berulang-ulang, dan kami tidak tahu bila elektrik akan putus lagi.” ulasnya lagi.
Bagi Kay Leng (Ijazah Doktor Falsafah Pengurusan Persekitaran, 2), dia berkata bahawa gangguan yang sering berlaku boleh menyebabkan pelbagai masalah kepada peralatan elektrik yang sedang digunakan.
“Bekalan elektrik di bilik saya telah putus sebanyak 7 kali dalam sehari pada hari itu. Saya amat risau apabila bekalan elektrik putus berlaku secara tiba-tiba kerana akan menyebabkan kerosakan peralatan elektrik.
“Setiap malam saya akan mengecas jam elektronik saya ketika tidur. Saya risau apabila bekalan terputus dan bersambung semula merosakkan jam saya kerana aliran cas yang tak stabil.
“Lagipun, jam elektronik saya berharga RM1800, bukan murah,” ulasnya lagi.
Dia berharap bahawa pihak pengurusan kolej ini, iaitu UKM Real Estate (UKMRE) segera mencari punca permasalahan dan mengambil langkah penyelesaian untuk mengatasi isu ini.
Sementara itu, Eksekutif Penyelenggaraan Fasiliti UKMRE, Puan Noor Farisya Azahar berkata, kejadian pada 12 Disember itu adalah disebabkan oleh kerosakan suis Telekom Malaysia (TM).
Wartawan Nadi Bangi telah difahamkan bahawa tiang feeder yang terletak di hadapan blok K18C membekalkan bekalan tenaga elektrik ke blok-blok K18 (K18A, K18B, K18C dan K18D).
Selain blok-blok kediaman, tiang feeder itu turut membekalkan kuasa kepada pam air dari tangki sedutan Kolej Dato' Onn ke tangki air utama KIZ, menara Digi dan TM yang terletak berhampiran tangki air utama KIZ.
Katanya, pihak UKMRE sentiasa menjalankan pemeriksaan berikutan setiap gangguan. Jika peralatan yang dibekalkan UKMRE didapati rosak, ia akan ditamatkan atau diganti, dan pemutus litar (MCB) akan diganti.
UKMRE juga ingin mengambil kesempatan ini untuk menasihati agar warga KIZ tidak menggunakan peralatan elektronik yang rosak atau peralatan yang tidak sesuai digunakan dalam soket kuasa rendah kerana ia boleh menyebabkan gangguan.