Nadi Bangi
Pengumuman PKPB Jejas Usahawan Kecil Di Selangor
Wartawan: Amirul Naim Baseri
Penyunting: Alis Awasi

Sumber: Bernama
KUALA LUMPUR, 7 Nov – Pengumuman pelanjutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) oleh pihak kerajaan bagi kawasan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor baru-baru ini sedikit sebanyak telah menjejaskan sektor ekonomi usahawan kecil di kawasan terbabit.
Penularan kes jangkitan Covid-19 yang menjangkaui tahap bahaya telah menyebabkan pihak kerajaan mengambil inisiatif untuk mengeluarkan arahan PKPB pada 14 Oktober yang lalu bagi mengurangkan penularan wabak ini. Perintah ini juga dikeluarkan sebagai saranan kepada masyarakat untuk kekal berada di rumah dan mengurangkan aktiviti luar sebagai usaha mengekang wabak ini daripada merebak dengan lebih efektif.
Walaupun kerajaan membenarkan aktiviti ekonomi berjalan seperti biasa, namun masyarakat hendaklah akur akan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan yakni perlu mengurangkan aktiviti di luar rumah dan hanya menaiki kenderaan tidak lebih daripada dua orang pada satu masa yang sama. Perintah kawalan ini secara tidak langsung bakal menganggu pengurusan kewangan usahawan kecil untuk membayar komitmen bulanan perniagaan mereka.
“Inilah masanya untuk kerajaan Selangor menumpukan inisiatif khususnya, bagi memastikan kelancaran sektor ekonomi negeri dan kebajikan rakyat terjaga,” kata penganalisis ekonomi, Prof. Madya Dr. Abu Sofian Yaacob, yang dipetik dari sumber Berita Harian.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berharap pihak kerajaan akan mempertimbangkan bantuan kewangan kepada golongan B40 dan M40 yang terkesan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Rentetan daripada itu, pelbagai inisiatif telah diambil dalam membantu usahawan kecil ini dalam meneruskan kesinambungan perniagaan mereka antaranya termasuklah pinjaman atau pembiayaan kepada individu dan Perusahaan Kecil Sederhana (PKS).