top of page
  • Writer's pictureSiti Syazreen Mahdzim

Pengundi muda di Hulu Langat teruja dan berdebar mengundi buat kali pertama

Updated: Nov 24, 2022

Penulis: Siti Syazreen Mohd Mahdzim

Penyunting: Norfara Faziera Moh Razali


Sumber Gambar: Berita Harian


HULU LANGAT, 20 Nov- Rata-rata pengundi muda yang berusia 21 tahun ke bawah melahirkan keterujaan dalam menjalankan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia untuk membuang undi buat kali pertama pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada hari Sabtu yang lalu di salah satu pusat mengundi, Sekolah Kebangsaan Bukit Mahkota (SKBBM).


Pengundi muda kelihatan berpusu-pusu ke pusat mengundi sejak awal pagi lagi meskipun cuaca pada pagi itu agak mendung dan hujan gerimis.


Masing-masing menyifatkan rasa keterujaan untuk memilih wakil rakyat untuk menerajui daerah Hulu Langat dalam masa lima tahun akan datang.


Ain Athirah, 19, yang tiba di Sekolah Kebangsaan Bukit Mahkota sekitar jam 8.30 pagi berkongsi rasa gembira dapat mengundi bersama ahli keluarganya yang lain dan hanya berjalan kaki sahaja untuk ke pusat mengundi kerana lokasi kediaman mereka yang tidak jauh daripada sekolah tersebut.


“Sebagai seorang yang pertama kali keluar mengundi, saya tak sangka proses mengundi di sini sangat lancar dan saya hanya mengambil masa selama 20 minit untuk melengkapkan proses ini.


“Saya rasa sangat lega selepas selesai mengundi dan harapan saya adalah mana-mana parti yang berjaya mentadbir negara pada masa lima tahun akan datang dapat mengeluarkan Malaysia dari zaman kemelesetan ekonomi,” katanya ketika ditemui di hadapan pusat mengundi ini.


Pelajar Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Muhammad Azman, 21, turut menggambarkan

keterujaan sebagai pengundi kali pertama dan berharap agar golongan muda tidak mensia-siakan peluang yang diberi oleh kerajaan untuk turun mengundi bagi PRU kali ini.


“Perasaan saya sedikit teruja kerana ini pertama kali saya mengundi di kampung halaman saya sendiri.


“Saya tiba di sekolah tempat saya mengundi pada pukul 8 pagi dan semuanya berjalan dengan lancar dengan bantuan pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan polis yang bertugas.


“Saya berharap dengan adanya Undi18 yang baru ini dapat membentuk kerajaan yang

membantu rakyat dalam pelbagai aspek untuk pembaharuan dan memajukan negara Malaysia,” katanya.


Dalam pada itu, Mohd Md Nor, 69, berkata beliau meskipun sudah beberapa kali turun mengundi, namun beliau berasa bangga melihat penglibatan anak muda dalam PRU pada tahun ini.


"Saya rasa suasana PRU tahun ini sangat berbeza dengan kehadiran pengundi muda yang mengaplikasikan Undi18 di negara kita serta saya percaya anak muda zaman sekarang juga sudah tahu dan ingin mengambil peduli terhadap perbincangan politik negara.


“Sudah tiba masanya masyarakat muda ini mengambil tanggungjawab dalam pemilihan pemerintah negara untuk kebaikan pada masa kini dan akan datang,” katanya.


Berdasarkan statistik umur Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) setakat 9 Oktober lepas, sebanyak 1,393,549 pemilih berusia 18 hingga 20 tahun di seluruh negara akan mengundi kali pertama pada PRU15 merangkumi 16 peratus daripada 6.9 juta pengundi baharu, didaftarkan secara automatik di bawah pelaksanaan Undi18.

32 views0 comments

Comments

Rated 0 out of 5 stars.
No ratings yet

Add a rating
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page