top of page
  • Writer's pictureNadi Bangi

Pengurangan Elaun lebih 800 Ribu Penjawat Awam Menimbulkan Pelbagai Reaksi Netizen

Oleh: Kanessha Rama Krishnan

Penyunting: Vijayabalan Krishnan


KUALA LUMPUR, 1 Jun - Kenyataan media yang dikeluarkan oleh Ketua Setiausaha Negara, Yang Berbahagia Datuk Seri Mohd Zuki bin Ali mengumumkan Manifestasi Solidariti Penjawat Awam dengan memberi sumbangan melalui pengurangan elaun dalam mendepani pandemik COVID-19 telah menimbulkan pelbagai reaksi daripada netizen Malaysia.


Inisiatif tersebut mendapat sokongan yang baik daripada kebanyakan penjawat awam yang menyokong Manifestasi Solidariti Penjawat Awam yang redha dengan ketentuan untuk menyumbangkan sebahagian daripada elaun mereka dalam usaha melandaikan keluk penularan COVID-19. ‘Alhamdulillah kita masih lagi punya pekerjaan dan terima gaji setiap bulan’, yang dikomen oleh Analiza dan beberapa orang netizen di laman sosial Twitter di bawah kenyataan media yang dikongsi oleh Ketua Setiausaha Negara menunjukkan wujudnya empati terhadap golongan yang terjejas sumber pendapatan mereka. Persetujuan dan sokongan terhadap inisiatif ini diberi sepenuhnya oleh segelintir individu dengan syarat sumbangan benar-benar disalurkan kepada usaha menangani COVID-19 seperti mengukuhkan sistem kesihatan negara di samping menyediakan bantuan tambahan kepada rakyat dan perniagaan yang terjejas seperti yang disampaikan dalam kenyataan media yang dikeluarkan oleh Ketua Setiausaha Negara.


Walau bagaimanapun , usaha murni tersebut tidak mendapat sambutan yang baik daripada kesemua pihak yang terlibat kerana wujudnya persoalan yang dikemukakan oleh ahli politik dan juga netizen Malaysia yang menjadikannya isu perdebatan di media sosial. Ahli Parlimen Kapar Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid memberitahu Sinar Harian bahawa kerajaan tidak boleh membuat pemotongan berkenaan mengikut kadar yang ditetapkan berikutan tanggungan bagi seseorang penjawat awam adalah berbeza. Pendapat beliau juga dikongsi di laman sosial dalam kalangan netizen yang tidak bersependapat dengan pengumuman YB Ketua Setiausaha Negara mengenai Manifestasi Solidariti Penjawat Awam yang seolah-olah ‘memaksa’ penjawat awam Gred 29 hingga 56 kerana senario kewangan setiap isi rumah sememangnya berbeza dan sebarang sumbangan perlulah dihulurkan secara sukarela.


Sumbangan tersebut melibatkan lebih 800 ribu penjawat awam yang merangkumi Pengurusan Tertinggi dan pegawai Gred 44 hingga 56 serta penjawat awam dari Gred 29 hingga 41. Sumbangan mereka terhadap menangani pandemik COVID-19 adalah melalui pengurangan sebahagian daripada elaun mereka yang terdiri daripada Imbuhan Tetap Keraian (ITK) bagi Pengurusan Tertinggi dan Gred 44 hingga 56 serta Imbuhan Tetap Khidmat Awam (ITKA) bagi Gred 29 hingga 41 yang akan disumbangkan kepada Akaun Amanah Bencana . Sumbangan yang bakal diberikan dianggarkan berjumlah lebih RM30 juta. Sumbangan manifestasi penjawat awam juga mencakupi gaji setiap Menteri dan Timbalan Menteri bagi tempoh 3 bulan sebagai tanda solidariti terhadap usaha menangani penularan COVID-19.


Inisiatif ini telah mendapat reaksi yang berbelah bahagi dari pelbagai pihak yang juga membawa persoalan adakah sumbangan ini perlu diberikan secara sukarela mahupun didesak oleh badan kerajaan supaya memberikan sebahagian daripada pendapatan mereka bagi membantu pihak kerajaan memberikan bantuan kepada rakyat.

14 views0 comments

Related Posts

See All
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page