• Nadi Bangi

Peniaga Belia Dalam Sektor Makanan Antara Yang Terkesan Akibat PKP

Oleh: Ziera Adurah

Penyunting: Mariam Zamri


Sumber Imej: Google


BANGI, 4 Julai – Peniaga belia merupakan di antara golongan peniaga di Malaysia yang terjejas akibat daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang ditetapkan oleh pihak kerajaan sejak bulan Mei yang lalu.


Ramai di antara peniaga belia mengeluh dengan pelaksanaan PKP yang dikuatkuasakan sudah hampir dua bulan ini kerana ia menjejaskan hasil jualan serta menyukarkan mereka untuk menjalankan perniagaan.


Peniaga belia yang menjalankan perniagaan penjualan kek atas talian dan fizikal, Nur Rifhani Rashid, 22, berkata, pelaksanaan PKP ini banyak memberi kesan kepada perniagaan beliau kerana kedai beliau terpaksa ditutup sepanjang PKP.


“Dulu senang lah pembeli datang kedai untuk beli kek, sekarang kedai tutup jadi jumlah pelanggan pun berkurangan.


“Pelanggan melalui online pun jarang ada sebab sekarang orang jaga duit, mereka akan beli barang-barang yang mereka betul-betul perlukan sahaja, sebab tu bisnes saya pun terkesan, pelanggan menerusi online masih ada cuma tidaklah ramai seperti masa sebelum PKP,” kata beliau.


“Dulu dalam sebulan saya boleh dapat dalam RM200, sebab saya menjual dalam kuantiti yang kecil sahaja tapi sekarang nak dapat RM100 sebulan pun susah sebab nak kumpul order pun dikira sukar buat masa sekarang ini,” tambah beliau lagi.


Seorang lagi peniaga belia yang melakukan perniagaan penjualan kek atas talian, Alya Afina Juha, 24, berkata walaupun jumlah pelanggan beliau masih dalam kuantiti yang baik, namun pelaksanaan PKP di seluruh negara ini menyukarkan beliau untuk menjalankan penjualan kek beliau seperti biasa.


“Bagi saya PKP yang berkuatkuasa sekarang ini menyukarkan saya untuk lakukan COD kepada pelanggan sebab saya tidak boleh nak rentas daerah untuk menghantar pesanan-pesanan dari pelanggan yang duduk luar dari daerah saya,” ujar beliau.


“Kalau saya dapat pesanan daripada pelanggan yang duduk luar dari daerah saya, saya akan guna khidmat runner dan cas yang dikenakan oleh mereka agak mahal.


“Oleh itu, saya selalu bertanya kepada pelanggan dahulu adakah mereka mahu menggunakan khidmat runner, sebab saya memang tidak boleh nak hantar sendiri kepada mereka disebabkan PKP ini,” tambah beliau.


Menurut beliau lagi, kadang kala ada pelanggan yang terpaksa membatalkan pesanan kek mereka kerana cas yang dikenakan oleh runner untuk menghantar makanan tersebut adalah mahal.


Nur Annisah Kassim, 21, seorang lagi peniaga makanan di atas talian berkata pelaksanaan PKP ini memberi kesan kepada beliau yang tinggal dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).


“Saya terpaksa tunggu barang baking sampai kepada saya dalam jangka masa yang lama disebabkan PKPD ini,” ujar beliau.


“Sekarang saya nak dapat rider untuk hantar pesanan kepada pelanggan pun susah, sebab selain daripada PKP ini, sekarang musim hujan jadi rider banyak yang tidak boleh nak hantar pesanan disebabkan cuaca yang tidak baik.


Penjualan goreng pisang saya pun makin berkurang semenjak PKP bermula kira-kira sebulan yang lalu, tambahan lagi sekarang dengan PKPD yang dilaksanakan di hampir ke semua daerah di Selangor,” tambah beliau lagi.


Menurut Chin Chee Seong, Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Malaysia, dalam satu kenyataan menurut Astro Awani, berkata pelaksanaan PKP yang dikuatkuasakan kini menjejaskan lebih banyak perniagaan yang kini sedang bergelut untuk meneruskan kelangsungan.


78 views0 comments

Related Posts

See All