• Nadi Bangi

Peniaga Kecil Beri Amaran Kepada Penyebar Berita Palsu Covid-19

Oleh : Saeid Juwanda

Penyunting : Arif Zahran

Sumber: Kipmall Bangi

BANGI, 5 Dis – Susulan penyebaran berita palsu berkenaan kes viral kluster baharu Covid-19 di pusat beli-belah Kipmall Bangi, seorang peniaga kecil telah memberi amaran di halaman Facebook Komuniti Bandar Baru Bangi hari ini.


Kira-kira dua hari lepas, tular di media sosial berkenaan satu status kluster baharu Covid-19 yang dikatakan mula menular di pusat beli-belah tersebut. Status yang disertakan bersama satu video rakaman menunjukkan pekerja asing diiringi pegawai kesihatan itu, dipercayai telah dimuatnaik oleh satu akaun Facebook dan mendapat perhatian penduduk sekitar Bandar Baru Bangi.


Anis Othman, pemilik Butik Anis Othman di Kipmall Bangi, menyatakan bahawa berita berkenaan kes Covid-19 yang semakin tular itu adalah tidak tepat sama sekali. Pihak wakil peniaga dalam kompleks tersebut telah memberikan kenyataan seperti berikut, “Assalammualaikum. Saya wakil peniaga di Kipmall Bangi atau dahulunya (WARTA) ingin memberitahu tentang viral kes Covid yang diwar-warkan itu adalah tidak seperti yang dihebahkan,” katanya menerusi akaun Facebook miliknya.


Menurut Anis, peningkatan kes Covid-19 di sekitar kawasan satu kilometer dari pusat beli-belah tersebut berpunca daripada pihak kilang berhampiran yang telah meminta pihak kesihatan untuk memeriksa pekerja mereka yang sedang mengalami demam.


“Hal ini kerana, kami masih boleh berniaga seperti biasa dan kawasan Kompleks Diamond dan Kipmall Bangi tiada dikenakan lockdown seperti di Hentian Kajang,” tambahnya lagi.


Pihak pengurusan Kipmall Bangi juga telah membuat satu kenyataan rasmi di halaman Facebook mereka berkenaan isu ini. Menurut kenyataan tersebut, tiada sebarang kes positif Covid-19 yang dilaporkan di dalam kawasan premis.


Anis juga turut memuat naik gambar perbualannya bersama satu akaun di Facebook yang didakwa telah memuat naik status berita palsu tersebut. Pemilik akaun Facebook itu menyatakan bahawa dia tidak mempunyai sebarang niat untuk menutup periuk nasi peniaga, tetapi cuma ingin mengingatkan netizen untuk lebih berhati-hati dan memohon maaf serta memadam status tersebut.

Sumber : Facebook

Menurut satu kenyataan rasmi daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKKM), mereka yang menyebarkan berita palsu menerusi SMS atau media sosial boleh disabit kesalahan di bawah Seksyen 211 dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.


Jika didapati bersalah, pesalah boleh disaman tidak lebih RM50,000 atau dipenjara tidak lebih setahun atau kedua – duanya. Oleh itu, orang ramai diminta untuk merujuk sumber rasmi daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di laman web www.moh.gov.my atau Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di laman web rasmi www.who.int.

1,140 views0 comments

Related Posts

See All