top of page
  • Writer's pictureNadi Bangi

Peniaga Kecil Subang Jaya Kecewa dengan SOP PKP 3.0

Updated: May 29, 2021

Oleh: Seri Haidah Jaapar

Penyunting: Nadia Nurshazira Mohd Sharani


Rumah kedai tidak beroperasi di Subang Jaya.


SUBANG JAYA, 27 Mei– Peniaga kecil di sekitar Subang Jaya kecewa dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 Diperketatkan dan mereka lebih rela melihat sektor perdagangan dan pengedaran ditutup sepenuhnya sehingga wabak COVID-19 terkawal di Malaysia.


PKP 3.0 Diperketatkan mula berkuatkuasa dari 25 Mei 2021 untuk tempoh dua minggu bersekali dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang diperketatkan lagi termasuk larangan rentas negeri dan daerah serta sekatan bagi aktiviti sosial, sukan dan rekreasi serta persidangan dan mesyuarat secara bersemuka.


Seorang peniaga makanan, Adam Azrim, 43, sangat kecewa dan merasakan rintihan suara peniaga kecil tidak diambil peduli berbanding peniaga besar seperti pembekal utama atau pengilang yang tidak boleh menutup barisan pengeluaran.


“Kami sanggup berkorban dan lebih mahukan penutupan penuh sektor berbanding sesetengah sektor yang masih dibenarkan operasi tetapi kes positif COVID-19 masih tinggi,” kata Adam.


Beliau berpendapat bahawa peniaga kecil tertindas disebabkan tindak balas berantai yang bermula daripada pembekal, peniaga dan kemudian pekerja bawahan serta perancangan asal beliau untuk mengembangkan perniagaan terbantut akibat PKP.


“Pihak berkuasa tidak akan faham keadaan peniaga kecil jika tidak berada di tempat mereka, kalau dahulu kita dapatkan 10 kilogram beras untuk berniaga dalam sehari tetapi kini 1 kilogram pun belum tentu boleh habis”, tambah Adam.


Beliau meluahkan rasa kecewa disebabkan banyak sektor yang masih buka tetapi masih boleh operasi namun waktu perniagaan sangat terhad, selain berpendapat bahawa modal berniaga telah habis digunakan untuk uruskan kerugian ketika PKP 1.0.


Manakala seorang lagi peniaga barangan runcit, Tay Ong, 52, masih menerima pelanggan tetap di kedai walaupun dengan SOP yang semakin ketat.


“Jualan saya ada turun sedikit lebih kurang 20% berbanding PKP 1.0 tahun lepas,” luah Tay.

Seorang lagi peniaga makanan, Luqman Hakem, 39, menerima tekanan yang sama seperti peniaga lain apabila beliau terpaksa mengeluarkan duit simpanan untuk membayar gaji pekerja.


SOP PKP 3.0 berkuatkuasa bermula 25 Mei 2021 sehingga 7 Jun 2021 dan melibatkan seluruh negara termasuk Wilayah Persekutuan Labuan.


Sektor perniagaan makanan seperti restoran, kedai makan, gerai makan, kenderaan bersaji (food truck) dibenarkan beroperasi antara 8.00 pagi hingga 8.00 malam dan aktiviti penjualan dibenarkan secara bawa pulang, pandu lalu atau penghantaran serta Dine-in juga tidak dibenarkan dalam tempoh PKP.


SOP am perintah kawalan pergerakan ini hasil rujukan rasmi dari portal Majlis Keselamatan Negara (MKN).


35 views0 comments
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page