Nadi Bangi
Peningkatan Kes Denggi Cetus Kebimbangan Penduduk
Oleh : Dina Syafiqah Mohd Zan
Gambar : Dina Syafiqah Mohd Zan
Penyunting: Fath Abu Bakar

Gambar petugas kesihatan semasa menjalankan semburan kabus nyamuk aedes
KULAI, 3 Jan – Susulan peningkatan kes demam denggi di sekitar kawasan Kulai, Johor telah mencetuskan kebimbangan penduduk apabila sebanyak 572 jumlah kumulatif kes denggi di kawasan Kulai setakat ini dengan lima jumlah kematian dilaporkan menurut sumber yang dipetik dari Facebook Info Denggi Johor.
Wartawan Nadi Bangi sempat meninjau kawasan ini dan mendapati semburan kabus nyamuk aedes akan dilakukan 2 kali seminggu untuk membantu mengurangkan peningkatan pembiakan nyamuk aedes dan kes denggi di kawasan ini. Pemeriksaan rumah ke rumah juga dijalankan oleh Pegawai Kesihatan untuk memastikan tiada kawasan takungan air dan pembiakan jentik-jentik.
Wartawan Nadi Bangi juga sempat menemu ramah seorang bekas pesakit denggi Nurain Hassan, 23 yang ditahan di wad zon merah Hospital Sultanah Aminah Johor baru-baru ini. “Pada awalnya simptom yang saya alami ialah demam panas mengejut, sakit kepala, muntah-muntah dan hilang selera makan. Selepas keputusan darah saya keluar saya telah disahkan kena denggi, saya dihantar ke hospital untuk rawatan susulan”.
“Pesanan saya, jika ada rasa tanda-tanda demam segeralah jumpa dengan doktor dan semua perlulah elakkan diri pergi ke kawasan yang berisiko serta elakkan diri dari keluar rumah pada waktu senja dan awal pagi”.
Tambahnya lagi, “Saya berharap semua penduduk juga sentiasa menjaga kebersihan di kawasan rumah mereka dan sentiasa memeriksa takungan air bagi mengelakkan pembiakan jentik-jentik dan menyebabkan nyamuk aedes membiak dengan cepat”.
Rosmah Haron, 57 salah seorang penduduk di sekitar ini berkata “Dalam kita menjaga untuk mengelakkan virus Covid-19 ini terus merebak, jika juga perlu sentiasa berjaga-jaga dan menangani wabak denggi dari terus berleluasa”.
“Jangan pandang remeh dengan demam denggi sebab wabak denggi juga boleh membawa maut. Semua pihak perlu ambil tindakan dan bekerjasama adakan gotong-royong di kawasan ini supaya dapat kurangkan pembiakan jentik-jentik dan dapat juga kekalkan kebersihkan kawasan disini”. Kata Mohammad Haziq, 26 yang merupakan salah seorang penduduk di sini.
Jelasnya, penduduk perlulah lebih prihatin dan peka dengan kawasan persekitaran rumah untuk mencegah penularan wabak demam denggi di sini. Kegagalan menjaga kebersihan di kawasan persekitaran rumah menyebabkan peningkatan pembiakan jentik-jentik dan sukar untuk mengawal kes demam denggi berpunca daripada nyamuk aedes ini.