top of page
  • Writer's pictureNur Amilya Husna Kamarul Zaman

Penyakit Kronik Bukan Penghalang Pasangan Suami Isteri Jadi Inspirasi di Tiktok

Penulis: Nur Amilya Husna Kamarul Zaman

Penyunting: Muhammad Haziq Aqmar Amril Nurman


Sumber Foto: Instagram @AuniMuthal’lib


RAWANG, 3 Jan - Walaupun menghidap penyakit kronik yang serius, pasangan suami isteri Auni Muthal’lib, 33 dan Iskandar Idris, 44 kekal positif memberi inspirasi kepada warganet di aplikasi Tiktok.


Auni yang bekerja sebagai seorang perunding kecantikan merupakan pengidap penyakit buah pinggang tahap akhir, kanser tiroid, kemurungan, keresahan dan gangguan stres pascatrauma (PTSD).


Video-video yang dimuat naik di aplikasi Tiktok beliau telah membuka mata warga maya untuk sentiasa bersyukur dengan apa yang mereka miliki serta menghargai pasangan selagi mereka masih ada.


Salah satu dari video mereka telah menyentuh hati warga maya sehingga tontonannya kini mencecah 9.7 juta tontonan dan meraih komen yang positif.



Sumber foto: Tiktok @AuniMuthal’lib


Auni mengalami masalah buah pinggang sejak usia empat tahun lagi dan kini perlu menjalani dialisis seumur hidup serta pernah membuat pembedahan sebanyak dua kali akibat kanser tiroid yang dihidap pada tahun 2018.


"Pengalaman hidup telah mengajar saya agar menjadi lebih kuat dan hanya diri sendiri yang mampu mengawal serta memberikan semangat dan bukannya orang lain.


"Apa yang saya pegang untuk menjadi sekuat ini ialah kerana saya mempunyai impian yang sangat tinggi walaupun pernah jatuh tetapi ianya tidak lama," katanya.


Auni turut mengatakan bahawa perkongsiannya di Tiktok adalah untuk memberi motivasi kepada orang ramai supaya terus kuat menjalani kehidupan kerana dirinya sendiri sudah jatuh berkali-kali namun dia bangkit kembali.


Tambahan pula, suaminya turut mempunyai penyakit kronik yang telah menyebabkan otot badannya menjadi lemah dan tulang belakangnya mula membengkok.


Muscular Dystrophy adalah penyakit genetik yang kekal serta tiada ubat dan sekiranya ada, harganya amat mahal. Penghidap penyakit ini mempunyai dua kategori iaitu pesakit tidak mampu berjalan dan kedua pesakit masih mampu berjalan.


Iskandar bekerja sebagai seorang eksekutif jualan di sebuah syarikat dan juga menjual baja organik secara dalam talian. Beliau asalnya mampu berjalan secara normal tetapi seiring meningkatnya usia, kaki beliau kini tidak mampu lagi bergerak.


Auni berkata, kebiasaannya, jangka hayat penghidap penyakit ini adalah antara 35 hingga 40 tahun sahaja dan bersyukur sehingga hari ini Iskandar masih berjuang untuk meneruskan kehidupannya.


“Suami saya pernah diserang strok pada tahun 2018 sehingga doktor memaklumkan bahawa dia menghidap pelbagai jenis penyakit termasuk kecederaan saraf tunjang,” katanya.


Kekangan dari aspek kesihatan yang dihadapi oleh pasangan suami isteri ini tidak sedikit pun melunturkan kasih sayang mereka antara satu sama lain dan ujian ini telah mendidik mereka menjadi pasangan suami isteri yang saling melengkapi.


Iskandar berkata, sekiranya dia tidak menjaga kesihatan dengan baik, bagaimana keadaan isterinya dan bimbang tiada siapa yang akan memberikan semangat kepadanya nanti.




85 views0 comments

Related Posts

See All
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page