Nadi Bangi
Penyertaan PLKN Cetus Reaksi Orang Awam
Updated: Nov 10
Penulis: Mohamad Asyraf Bin Ishak
Penyunting: Ahmad Naufal Bin Azmi Mustafa

Sumber foto: Majoriti
BANGI, 6 Nov - Tular beberapa minggu lalu tentang pelaksanaan semula Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 oleh kerajaan telah menarik perhatian ramai pihak.
Kerajaan membuat satu kenyataan tergempar bahawa di bawah Akta Latihan Khidmat Negara 2003 (Akta 628), belia sehingga umur 35 tahun boleh diarahkan untuk menyertai PLKN 3.0.
Pelbagai reaksi menunjukkan mereka tidak berpuas hati dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh kerajaan yang menetapkan sasaran pengambilan rekrut PLKN kalini adalah individu yang berusia 16 sehingga 35 tahun.
Sehubungan dengan itu, ramai yang tidak berpuas hati setelah mengetahui kemunculan semula Kem PLKN setelah 6 tahun dimansuhkan daripada tahun 2018 yang lalu.
Seorang penjawat awam, Amin Yusof, 28, berkata beliau terkejut apabila membaca berita yang menetapkan had umur 35 tahun untuk menjalani kem PLKN kerana individu yang umur 25 tahun dan keatas biasanya sudah mempunyai komitmen seperti membayar aset dari segi duit rumah, kereta dan keluarga terutama kepada yang telah berkahwin.
“Saya setuju bagi yang sudah berkahwin dan berkerja untuk dilatih di pusat PLKN tetapi elaun yang diberi perlulah setimpal dengan tempoh latihan tersebut.
Wajar kerajaan beri kelonggaran kepada golongan yang bekerja dan berkahwin untuk tidak terima tawaran seperti menetapkan kriteria yang memenuhi syarat dibenarkan sebagai contoh tangga gaji rendah, seorang isteri tidak bekerja dan mempunyai bilangan anak ramai perlu diambil kira oleh kerajaan” ujarnya.
Menurut pelajar lepasan SPM, Auni Hanifah, berpendapat bahawa program ini akan memakan masa yang lama kerana dalam tempoh latihan tersebut pelajar mungkin dapat mencari duit sampingan untuk menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.
“Saya merupakan keluarga yang sederhana jadi saya tidak mahu membebankan ibu bapa dalam menampung kos pembelajaran pada masa akan datang” katanya.
Dalam pada itu, guru, Zalifah Asha’ari, 26, berpandangan program PLKN wajar dilaksanakan di Malaysia untuk memantapkan jati diri generasi muda.
“Walaubagaimanapun, usaha yang ditunjukkan oleh kerajaan ini perlu mendapatkan sokongan padu daripada majikan belia yang sudah bekerja supaya dapat memberi pelepasan cuti bergaji dalam menjalani latihan di kem selama tempoh yang dikuatkuasakan.
Kerajaan juga perlu mengkaji semula tentang pengambilan yang berumur 30 tahun keatas kerana mereka tidak mempunyai stamina seperti usia belasan tahun,” ujarnya.
Tambahan lagi, pelajar, Firdaus Hashim, 22, turut memberi sokongan terhadap pelaksanaan program PLKN kerana ia dapat memberi impak positif dalam membentuk generasi akan datang.
“Saya rasa program ini perlu dilaksanakan bagi membentuk pemikiran yang matang dan kesan positif dalam membina kehidupan sejahtera terutama generasi akan datang” katanya.