top of page
  • Writer's pictureNadi Bangi

Penyokong Trump Protes Hasil Undi Pilihan Raya

Oleh: As Nurul ‘Ainaa Awanudin

Penyunting: Shirly Low Shi Li


Sumber: CGTN


WASHINGTON, 16 Nov - Ribuan penyokong Presiden Amerika Syarikat ke-45, Donald Trump berhimpun di Washington untuk memprotes kemenangan Joe Biden, calon Presiden dari parti Demokrat dalam pilihan raya yang telah diadakan pada 3 November yang lalu.


Menurut kenyataan Donald Trump dari akaun peribadinya di media sosial Twitter, beliau mendakwa bahawa pembuat sebuah peralatan pilihan raya telah ‘menghapuskan’ 2.7 juta undi untuknya di seluruh negara lalu mengubah ratusan ribu undi tersebut kepada Biden di Pennsylvania dan beberapa negeri lain.


Menurut berita yang dilaporkan oleh Sinar Harian, beberapa pegawai Persekutuan dan pilihan raya Presiden Amerika Syarikat (AS) yang bertanggungjawab dalam aspek keselamatan pilihan raya menafikan bahawa sistem pengundian telah menjadi korup ketika pilihan raya sedang berlangsung. Mereka menolak dakwaan Trump yang dikatakan berlakunya penipuan yang menyebabkan kehilangan undi yang terus membawa kemenangan kepada Joe Biden. Mereka juga menegaskan bahawa tiada undi yang hilang atau diubah pada pilihan raya ini.


Menurut sumber British Broadcasting Corporation (BBC), perarakan‘Million Maga March’ bermula pada hari Sabtu jam 12 tengah hari waktu tempatan (1 pagi waktu Malaysia) di Freedom Plaza yang terletak berhampiran dengan White House. Ribuan penyokong Trump yang datang dari pelbagai negeri telah berkumpul di Freedom Plaza untuk menyokong dakwaan Donald Trump mengenai sistem pengundian yang telah korup serta terdapat unsur penipuan dalam pengiraan undi pilihan raya tersebut.


Perarakan tersebut kemudiannya berarak ke Mahkamah Agung Amerika Syarikat, Washington.


Perarakan ‘Million Maga March’ disertai oleh golongan militan yang utama iaitu kumpulan Proud Boys dan Oath Keepers. Penyokong Trump yang terlibat dalam perarakan tersebut memakai kemeja-T yang tertera ‘Trump 2020’ dan membawa sepanduk yang tertulis ‘Stop The Steal’ dan ‘Count Every Vote’. Pada masa yang sama, mereka juga menolak memakai topeng muka yang merupakan salah satu langkah pencegahan penyakit coronavirus 2019 (COVID-19) yang telah mengorbankan 247,000 nyawa di Amerika Syarikat.


Sumber dari Forbes juga menunjukkan bahawa pada waktu malam di hari yang sama, berlakunya rusuhan antara kumpulan pro-Trump dan anti-Trump di Washington pada jam 8 malam waktu tempatan (9 pagi waktu Malaysia). Menurut polis tempatan di Washington, seorang lelaki berusia lingkungan 20-an telah ditikam di belakangnya lalu dibawa ke hospital yang berdekatan untuk mendapatkan rawatan lanjut. 2 orang polis yang bertugas di tempat kejadian tersebut telah mengalami kecederaan dan seramai 20 orang telah ditahan atas kesalahan memukul dan mencederakan orang awam dengan menggunakan senjata. Beberapa klip video yang memaparkan rusuhan tersebut telah tular di media sosial.


20 views0 comments
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page