top of page
  • Writer's pictureNadi Bangi

Perang Poster PRN Melaka Ancam Keselamatan Pengguna Jalan Raya

Penulis: Hazlina Nasa Sutrisno

Penyunting: Alyaa Nabihah Zainal Abu

Foto: Hazlina Nasa Sutrisno

KRUBONG, 14 Nov - Menjelang hari pengundian PRN Melaka pada Sabtu ini, warna warni bendera dan poster kempen dilihat menghiasi setiap pelosok negeri sehingga timbulnya isu ketidakpuasan hati dalam kalangan rakyat tempatan yang berpendapat bahawa pemasangan bendera dilakukan secara sesuka hati dan tidak menepati Prosedur Operasi Standard (SOP) sehingga mengancam keselamatan pengguna jalan raya.


Tinjauan wartawan Nadi Bangi baru-baru ini mendapati bahawa bendera dari pelbagai parti politik dipasang di sepanjang jalan raya khususnya di kawasan tumpuan orang ramai seperti di jalan-jalan utama dan di kawasan lampu isyarat selain papan sepanduk dan papan kempen calon turut dipasang bagi memancing undi rakyat tempatan.


Seorang pemandu kereta M. Khalid 42, yang ditemui menyuarakan kemarahan selepas pemasangan bendera parti politik di simpang jalan dilihat menghalang penglihatan pemandu kereta dan penunggang motosikal untuk keluar dan masuk simpang berkenaan.


“Mohon pihak yang terlibat untuk cabut semula bendera di tepi simpang-simpang jalan. Mengganggu betul sampai nak keluar simpang tak nampak jalanraya atau kenderaan yang lalu lalang. Tolong cabut dan alih ke tempat yang lebih sesuai. Bahaya ni,” ujar beliau.


Seorang lagi pengguna jalan raya yang ingin dikenali sebagai Ali Ahmad 32, ketika ditemubual turut menyuarakan kebimbangan mengenai pemasangan bendera yang tidak menepati SOP kempen pilihanraya.


“Suasana menjelang PRN semakin hangat, banyak bendera dipasang tapi pemasangan bendera sangat tidak patuh SOP yang dah ditetapkan. Pasang bendera tinggi-tinggi pakai buluh, tak kukuh. Bila ditiup angin kuat akan tumbang ke jalan raya dan berisiko untuk pengguna jalan raya. Ada yang pasang dekat papan tanda jalan, lampu isyarat, depan rumah orang pun ada. Orang susah nak baca papan tanda dan ganggu lampu isyarat. Kalau pasang kat selekoh berbahaya sebab rider motosikal tak nampak jalan, boleh sebabkan kemalangan,” tambah beliau.


Namun, penduduk juga mendapati bahawa pihak berkuasa ada mengambil tindakan terhadap bendera yang dipasang sembarangan. M. Husaini, seorang penduduk tempatan mengatakan bahawa ada pegawai dari Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) atau majlis perbandaran terlibat telah mencabut bendera yang telah melanggar SOP kempen pilihan raya khususnya di kawasan larangan pemasangan bendera.


“Di kampung saya haritu ada nampak pihak PBT ke majlis perbandaran dah cabut bendera dekat tengah-tengah divider jalan. Saya difahamkan memang undang-undang tak boleh pacak bendera kat kawasan yang ganggu lalu lintas, sekolah-sekolah, papan tanda dan tiang elektrik atau tiang telefon pun tak boleh pasang. Ni peraturan yang saya tahu lah. Kalau ada pengguna jalan raya yang terkena bendera ke atau ada kerosakan ke boleh report supaya pihak berkuasa boleh tahu siapa yang pacak bendera tu,” tegas beliau.


Pengguna jalan raya yang mengalami kerosakan kenderaan atau kemalangan akibat bendera yang dipasang dinasihatkan untuk menyalurkan aduan mereka kepada Pihak Berkuasa Tempatan supaya tindakan tegas boleh diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab.



3,409 views0 comments

Related Posts

See All
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page