Nadi Bangi
Perangkap Monyet di Kolej Keris Mas Tidak Menyelesaikan Masalah?
Penulis : Muhammad Izzul Aiman bin Othman
Penyunting : Imran bin Mohd Yusof

Sumber foto : Warga Kolej Keris Mas
BANGI, 8 Mei - Usaha pihak pengurusan Kolej Keris Mas, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang meletakkan perangkap monyet di sekitar kolej kediaman mendatangkan tanda tanya sama ada ia merupakan sebuah inisiatif yang efektif atau tidak.
Kehadiran monyet liar di kolej kediaman sekitar UKM sudah lama menjadi masalah kepada penghuni kolej, lebih-lebih lagi dari aspek kebersihan dan keselamatan.
Tong sampah yang diletakkan untuk kegunaan penghuni kolej kerap kali diselongkar dan disepahkan lalu menggugat tahap kebersihan di kolej yang berkemungkinan menyumbang kepada masalah kesihatan.
Bukan itu sahaja, monyet liar yang datang dari hutan berhampiran kolej ini juga berpotensi mencederakan penghuni kolej apabila terdapat insiden atap genting dicampak dari bumbung bangunan kolej.
Penghuni Kolej Keris Mas, Nurul Ayu Nazirah, pelajar Bioteknologi Tumbuhan (Tahun 1) berpendapat bahawa inisiatif yang dilakukan oleh pengurusan Kolej Keris Mas itu berhasil kerana dia tidak melihat monyet berkeliaran di kolej dalam kebelakangan ini.
“Saya rasa perkara ini bagus untuk keselamatan. Saya sudah tidak takut untuk keluar selepas perangkap monyet ini ada”, ujarnya.
Menurut Nur Izzah Hani, pelajar Biokimia (Tahun 3) pula, perangkap monyet ini tidak akan dapat menyelesaikan masalah sekiranya terdapat pelajar melepaskan monyet yang terperangkap gara-gara berasa kesian dan simpati terhadap haiwan tersebut.
“Perangkap ini idea yang bagus tetapi perlu sebarkan kesedaran kepada semua orang agar tidak melepaskan monyet. Bila tiada orang yang lepaskan, barulah perangkap ini akan jadi lebih efektif”, jelasnya.
Berbeza pula pendapat pelajar Komunikasi Media (Tahun 2), Mohamad Asyraf Ishak yang mengatakan masalah monyet di kolej kediaman tidak akan dapat diselesaikan oleh sebab Kolej Keris Mas bersebelahan dengan hutan yang merupakan habitat mereka.
“Saya rasa perangkap monyet itu tidak menyelesaikan masalah sebab monyet tetap akan membiak dengan banyak dan hutan adalah tempat asal mereka,” menurutnya.