top of page
  • Writer's pictureNadi Bangi

PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN JEJAS PENIAGA KECIL

Wartawan: Nazrin Sarnin

Editor: Vimala Shanmugam

Sumber: google


Berikutan penularan wabak Covid-19 yang kini menjangkaui tahap bahaya, kerajaan Malaysia telah mengambil inisiatif bersiap-siaga dengan mengeluarkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengurangkan penularan wabak ini dari berterusan. Perintah ini dikeluarkan sebagai arahan kepada masyarakat untuk kekal di rumah dan mengurangkan aktiviti luar dalam usaha mengurangkan peningkatan jumlah kes Covid-19 di negara ini. Sehingga 25 Mac 2020, Malaysia telah mencatatkan 17 kes kematian, dan lebih 13,000 nyawa terkorban seluruh dunia.


PKP yang dikeluarkan kerajaan bermula 18 mac itu telah memberikan kesan kepada ramai usahawan industri kecil dan sederhana (IKS). Hal ini kerana mereka perlu membekukan segala jenis aktiviti jual beli sepanjang tempoh PKP ini. Perkara ini bakal menganggu pengurusan kewangan mereka untuk membayar komitmen bulanan perniagaan mereka. Munurut Presiden Persatuan Peniaga dan Penjaja Bumiputera wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Datuk Seri Rosli Sulaiman, lebih 40,000 penjaja dan peniaga kecil di Kuala Lumpur antara yang terjejas akibat PKP ini.


Peniaga-peniaga tersebut tidak mempunyai simpanan kewangan yang mencukupi bagi menampung perbelanjaan mereka sepanjang tempoh kawalan pergerakan ini. Dikhabarkan IKS yang mempunyai 50 orang pekerja antara yang paling teruk menerima tempias kawalan pergerakan ini, dan ada di antara mereka yang mungkin tidak dapat meneruskan perniagaan kerana kemerosotan simpanan kewangan mereka.

Banyak inisiatif telah diambil dalam membantu usahawan IKS dalam meneruskan kesinambungan perniagaan mereka. Antaranya termasuklah pinjaman/pembiayaan kepada individu dan peniaga IKS. Namun begitu, adakah inisiatif yang diambil benar-benar membantu atau sebenarnya membebankan? Pada akhirnya, ia mengakibatkan hutang perniagaan mereka meningkat dan mungkin memberikan kesan buruk pada jangka masa panjang, terutamanya kepada usahawan yang baru memulakan perniagaan. Apa pula usaha daripada pihak usahawan dalam memastikan perniagaan mereka terus teguh dalam tempoh PKP ini?


Tidak salah rasanya jika pinjaman diberikan. Bentuk pinjaman ini sendiri adalah inisiatif yang baik yang boleh dibekalkan kepada pekebun kecil dan usahawan meningkat naik. Namun apa yang boleh disarankan kepada usahawan IKS adalah ‘downsizing’ atau mengecilkan skala perniagaan dan mengurangkan gaji pekerja jika perlu. Sedikit sensitif, namun ini adalah satu kaedah yang boleh dicadangkan dalam usaha memastikan perniagaan mereka masih bernafas dalam kesulitan masalah wabak ini. Kita tidak tahu berapa lama wabak ini akan terus merebak, dan pada masa yang sama pekerja harus memahami kesulitan yang dihadapi usahawan dalam memastikan mereka tidak kehilangan pekerjaan.


Oleh itu, inisiatif secara bersama dan berterusan perlu diambil oleh kerajaan dan usahawan kecil dalam memastikan kelangsungan IKS dan menyumbang kepada ekonomi negara untuk kesejahteraan bersama.

214 views0 comments
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page