Nadi Bangi
Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Antara Dua Darjat
Oleh: Abdullah Zaid
Penyunting: Farhan Siddiq

Sumber: Twitter
Pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) telah menjadi bukti pemisahan jurang dua darjat diantara rakyat marhaen dan golongan kayangan yang kebal undang-undang daripada dikenakan hukuman dan denda seperti kes melibatkan seorang menteri yang dibenarkan untuk pergi ke New Zealand selama 55 hari atas alasan keluarga. Hal ini juga melibatkan kes seorang pekerja swasta yang menyalahgunakan surat kebenaran merentas negeri untuk kegunaan peribadi. Intipati kes yang berlaku menunjukkan adakah wujud unsur dua darjat dalam pelaksanaan PKP ini?
Dua Darjat
Dilema dua darjat ini bukanlah satu perkara yang baru wujud tetapi budaya ini telah lama bertapak dalam sistem pentadbiran kita. Antara dalam catatan sejarah Melayu-Melaka ada menceritakan layanan dua darjat melibatkan golongan bangsawan Melaka yang bebas untuk melakukan apa sahaja salah laku berbanding rakyat biasa yang pantang melakukan kesalahan pasti akan dikenakan tindakan hukuman yang keras walaupun salah laku tersebut berlaku atas faktor kemiskinan.
Dalam era moden pula, budaya dua darjat tidak mendapat tumpuan yang khusus daripada orang ramai tetapi semenjak situasi pandemik mula merebak di negara kita. Amalan dua darjat ini telah meninggal kesan yang dahsyat dalam denyut nadi rakyat marhaen. Antaranya, kes selebriti terkenal tanah air yang melangsungkan perkahwinan tanpa mengikut Standard Operation Prosedure (SOP) yang telah ditetapkan. Bukan itu sahaja, pasangan terbabit didapati merentas negeri semata-mata untuk membeli karpet sahaja. Tindakan ini mendapat reaksi awam yang mempersoalkan kredibiliti pihak berkuasa dalam pelaksanaan undang-undang yang menyeluruh.
Hukuman Yang Berat Sebelah
Secara keseluruhannya masyarakat awam tidak mempersoalkan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tetapi yang menjadi pertikaian ialah pelaksanaan PKP yang jelas tidak memberi penekanan yang menyeluruh terutamanya dari segi hukuman yang bersifat berat sebelah. Contohnya, denda terhadap pemilik perniagaan yang didapati bersalah ialah RM 50 ribu maksimum. Isu yang menjadi pertikai orang awam ialah kes yang melibatkan pemilik kilang yang bertanggungjawab dalam penularan kluster tertinggi di Malaysia hanya dikenakan denda sebanyak RM 50 ribu sahaja. Walhal kilang terbabit telah banyak melakukan kesalahan dari segi pematuhan seperti gagal menyediakan ruang yang selamat kepada pekerja sehingga wujud kluster besar yang menyumbang kepada bilangan mangsa positif.
Hal ini berbeza pula, dengan kes yang melibatkan seorang pengusaha kedai runcit di Kota Bharu yang dikenakan jumlah denda yang sama walaupun mangsa mendakwa berlaku salah faham dalam tempoh waktu beroperasi. Kesannya, mangsa terpaksa menjual kedai runcitnya ekoran ketidak mampuan mangsa untuk membayar denda RM 50 ribu. Perbandingan hukuman ini jelas tidak memberi keadilan yang penuh oleh pihak berkuasa dalam menentukan kadar hukuman yang selayaknya kepada dua scenario terbabit.
Pelaksanaan Undang-Undang Yang Tidak Menyeluruh
Pelaksanaan undang-undang ini sering dikaitkan dengan salah laku ahli politik yang jelas melanggar pematuhan SOP seperti pemakaian pelitup muka dan membuat jamuan. Antaranya, kesalahan yang dilakukan oleh ahli parlimen Batu Pahat yang merangkap sebagai timbalan speaker dewan negara yang tular membuat “pesta durian” telah mendapat kritikan awam. Tindakan ahli parlimen tersebut, turut mendapat kritikan pedas daripada orang ramai berikutan penafian wakil rakyat terbabit yang mendakwa jamuan tersebut dibuat pada awal tahun lalu iaitu pada sebelum pandemik. Beliau yang akhirnya memohon maaf atas “kesilapan” tersebut masih lagi tidak dikenakan hukuman mahupun denda. Ironiknya kes tular melibatkan ahli politik amat jarang sekali dikenakan kadar hukuman yang segera berbanding rakyat biasa. Hal ini amat berbeza dengan kepimpinan melalui tauladan oleh pemimpin luar negara yang menunjukkan contoh tauladan yang baik seperti Perdana Menteri Thailand yang tidak memakai pelitup muka akur untuk dikenakan hukuman. Beliau juga turut memohon maaf kepada rakyat Thailand atas kecuaian Perdana Menteri terbabit dalam mematuhi SOP. Bukan itu sahaja beberapa Menteri di negara barat juga meletak jawatan ekoran kegagalan mematuhi prosedur pematuhan SOP seperti Menteri Kesihatan United Kingdom yang meletak jawatan ekoran kecuaian beliau dalam pematuhan SOP.
Tolak Budaya Dua Darjat
Tidak dapat dinafikan untuk menghapuskan dua darjat ini bukan satu perkara yang mudah tetapi usaha untuk mengurangkan jurang ini perlu dilaksanakan melalui penerapan nilai kesedaran oleh semua lapisan masyarakat terutamanya golongan yang bertanggungjawab untuk mentadbir negara ini. Melalui masalah pandemik ini, telah menyedarkan kita betapa buruknya kebobrokan dua darjat yang jelas menekan kebanyakkan rakyat biasa. Permasalahan ini telah menjadi satu bukti kegagalan pihak berkuasa dalam meletakkan keadilan di tempat yang sepatutnya.