top of page
  • Writer's pictureNadi Bangi

Perkahwinan ‘Drive-thru’ Elak Virus Covid-19

Updated: Mar 24, 2020

Oleh: Nur Yusliana Mohd Yusoff

Penyunting: Nur Zulaikha Hisham



Sumber: Facebook Dinas Bridal & Zenuz Production


Baru-baru ini tular di media sosial perkahwinan yang dinamakan ‘kahwin drive-thru’ yang telah dikongsi oleh satu laman Facebook, Dinas Bridal yang telah memaparkan foto-foto dimana satu pasangan pengantin ini mengadakan satu majlis perkahwinan mereka tanpa majlis dengan berkonsepkan kahwin ‘drive-thru’ dan sekaligus telah menarik perhatian netizen.


Pasangan pengantin tersebut yang dikenali sebagai Ikin dan Mon menggelarkan tema majlis perkahwinan mereka sebagai perkahwinan ‘drive-thru’ kerana para tetamu yang menghadiri majlis tersebut hanya berada di dalam kenderaan masing-masing. Tetamu juga hanya perlu pandu lalu dan mereka akan disambut oleh pasangan pengantin tersebut dengan memberi isyarat tangan sebagai tanda salam.


Idea perkahwinan berkonsepkan ‘drive thru’ ini tercetus akibat daripada penularan wabak Covid-19 yang sedang melanda seluruh dunia dan sedikit sebanyak telah memberikan kesan kepada pasangan-pasangan pengantin yang bakal melangsungkan majlis perkahwinan mereka dalam masa terdekat ini. Sebahagian besar daripada mereka terpaksa menangguhkan majlis perkahwinan mereka sebagai langkah berjaga-jaga untuk mengelakkan wabak Covid-19 ini semakin merebak.


Sudah menjadi kebiasaan dan sinonim di dalam adat perkahwinan di mana para tetamu akan memberikan wang ataupun duit salam keruk sebagai hadiah perkahwinan kepada pengantin. Walau bagaimanapun, pasangan pengantin ini menggunakan inisiatif lain dengan meletakkan sebuah kotak yang dilabelkan sebagai ‘tabung sumbangan’ di hadapan pelamin mereka. Sekiranya para tetamu yang hadir berhasrat untuk memberi sumbangan kepada pasangan pengantin ini, mereka akan memasukkan wang tersebut ke dalam kotak berkenaan.


Di dalam majlis perkahwinan ‘drive-thru’ ini, tiada meja makan yang disediakan untuk menghidangkan makanan kepada para tetamu. Sebaliknya, pasangan pengantin ini memberikan bungkusan makanan yang telah dibungkus kepada tetamu yang hadir sebagai tanda terima kasih.


Perkongsian foto-foto berkenaan telah mendapat pelbagai reaksi daripada masyarakat dan rata-rata daripada mereka memuji cara majlis perkahwinan ini dilakukan terutama sekali semasa musim wabak virus Covid-19 ini. Konsep perkahwinan ‘drive-thru’ ini dikatakan dapat mengelakkan penyebaran virus Covid-19 yang menjadi kerisauan masyarakat pada masa kini.

124 views0 comments
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page