Oleh: Deliyana Darwes
Penyunting: Kumutha Vallii Veloo
HULU TERENGGANU, 11 Nov – Persatuan Mahasiswa Terengganu Universiti Kebangsaaan Malaysia (Permata Ukm) telah menumbangkan dua ekor lembu bagi menjamu warga Felda melalui program Jalinan Erat Jauhari Kasih Siswa (Jejak Siswa) 2019 yang berlangsung pada 27 hingga 30 Oktober lalu di Felda Jerangau Barat, Ajil, Hulu Terengganu.
Program khidmat masyarakat yang bermodulkan anak angkat ini bertujuan untuk membawa mahasiswa mendekati masyarakat sebagai sebuah inisiatif dalam mewujudkan kesedaran terhadap tanggungjawab dan peranan mahasiswa terhadap masyarakat disamping menabur bakti serta mengenali adat dan budaya masyarakat di Hulu Terengganu khususnya di Ajil.
Jamuan makan yang disediakan melalui aktiviti gotong-royong bersama warga Felda ini merupakan salah satu modul bagi merapatkan hubungan silaturrahim bersama warga Felda dan sebagai tanda penghargaan kerana sudi menerima kedatangan Permata Ukm yang disambut dengan meriah.
Program yang terbuka bukan sahaja kepada pelajar anak kelahiran Terengganu ini dikendalikan oleh 25 orang ahli jawatankuasa dan disertai oleh 37 orang pelajar daripada pelbagai latarbelakang program pengajian dan negeri yang kemudiannya ditempatkan bersama 17 buah keluarga yang terpilih sepanjang 3 hari program berlangsung.
Menurut Muhammad Aiman Bin Harun, Yang Dipertua Permata UKM, “Sepanjang program berlangsung, komuniti Felda Jerangau Barat tidak putus-putus memberikan sumbangan, nasihat dan semangat kepada seluruh ahli jawatankuasa yang bertungkus lumus merangka perjalanan program”.
“Kami berharap agar usaha kami dalam melaksanakan program sebegini dapat memberi impak dan kesan kepada seluruh mahasiswa UKM dan komuniti di Felda Jerangau Barat.” Tambahnya lagi.
“Terima kasih juga atas sambutan dan kerjasama yang baik daripada Mahasiswa Ukm terutamanya mereka yang berlainan negeri kerana memberi sokongan yang padu terhadap program Permata UKM,” kata Muhammad Izzuddin Amin bin Isham selaku Ketua Pengarah program.
“Saya yakin pembinaan masa depan negara akan menjadi lebih cerah apabila generasi muda mula cakna terhadap kehidupan masyarakat sekelilingnya.” Tambahnya lagi.
Menurut Boris Wong Jung Zhang, pelajar Fakulti Sains Kesihatan, tahun 4 yang berasal dari Sarawak, ini merupakan pengalaman pertamanya memasuki Felda dan sangat teruja mendapat keluarga angkat yang melayaninya seperti anak sendiri.
“Saya juga dapat menyaksikan lembu disembelih dan dilapah. Saya membantu menggaul daging lembu semasa gotong-royong memasak. Itu pertama kali saya melihat lembu disembelih,” tambahnya lagi yang juga merupakan satu-satunya peserta berbangsa Cina.
“Saya sangat teruja dan enjoy dengan aktiviti yang dijalankan. Tambahan pula penduduk di sini sangat sporting dan saya pasti akan datang semula kesini untuk menziarahi keluarga angkat saya suatu hari nanti,” kata Nurul Farhana binti Abdullah, Pelajar Komunikasi Media tahun 3 yang berasal dari Kedah.
Program dirasmikan oleh Yang Berhormat, Ustaz Maliaman bin Kassim, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi Negeri Terengganu, merangkap bapa angkat Permata Ukm.
Pelbagai aktiviti lain turut dijalankan melibatkan para peserta dan juga warga Felda, antaranya adalah Karnival Sukan Rakyat, Forum Perdana Islam, Gotong-royong KomSis, Ziarah Mahabbah (ZahRa), Slot motivasi dan pertandingan mewarna bersama pelajar sekolah dan juga malam kesenian.
Comments