top of page
  • Writer's pictureNadi Bangi

Perpustakaan Negara Berwajah Baru Menjelang 2021

Oleh: Rafidahtul Aqilah

Penyunting: Deliyana Darwes



Suasana di Perpustakaan Bestari Samsung, Perpustakaan Negara

Kuala Lumpur, 13 Okt - Seiring dengan perubahan teknologi kini yang berkembang pesat, Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) bakal berwajah baru menjelang 2021.


Menurut Ketua Pengarah Perpustakaan Negara, Maizan Ismail, kerja menaik taraf akan dijalankan bermula hujung tahun ini sehingga tahun 2021 yang akan menjadikan PNM bertaraf tinggi.


“Perubahan akan dilakukan terhadap infrastruktur terutamanya dari segi teknologi dan peralatan serta ruang mengikut citarasa pengguna yang menekankan ciri-ciri oriented reality dan artificial intelligence,” beliau berkata ketika sesi temubual bersama wartawan Nadi Bangi di Festival Sastera Kanak-Kanak baru-baru ini.


Beliau juga berkata antara strategi untuk memupuk amalan membaca dalam diri kanak-kanak dan masyarakat, PNM memfokuskan bahan bacaan berbentuk digital seperti e-Buku, e-Suratkhabar dan e-Majalah dan tidak hanya tertumpu pada bahan bacaan berbentuk fizikal sahaja.


PNM turut bekerjasama dengan Samsung Electronic Malaysia dalam penubuhan Perpustakaan Bestari Samsung yang mengetengahkan teknologi digital dalam pembacaan dan pembelajaran menggunakan peranti Samsung dengan aplikasi yang direka khas selari dengan penggunaan gajet yang menjadi medium utama masyarakat pada masa kini.


Sebanyak empat zon di sediakan dalam Perpustakaan Bestari Samsung yang dimuatkan dengan tablet, komputer serta komputer riba untuk memudahkan pengguna mengakses maklumat yang diperlukan.


Dengan usaha yang dilakukan PNM ini, beliau berharap dapat menarik lebih banyak pengunjung ke Perpustakaan Negara tanpa mengira lapisan umur serta masyarakat samada bertujuan untuk bersantai mahupun berkarya.   


“Saya berharap masyarakat Malaysia dapat mengenali serta mendampingi Perpustakaan Negara dan perpustakaan yang ada di Malaysia tanpa meletakkan persepsi bahawa gedung ilmu hanya dikhaskan kepada orang yang tertentu sahaja,” tambah beliau.


Para pengunjung boleh mengunjungi Perpustakaan Negara Malaysia yang beroperasi setiap hari Selasa hingga Ahad bermula pada jam 10 pagi hingga 7 malam.

22 views0 comments

Related Posts

See All
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page