top of page
  • Writer's pictureNadi Bangi

Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Membantu Dalam Menjayakan Program Larian Neon Run.

Penulis : Muhammad Amir Ridzuan Bin Ruslee

Penyunting : Aisyah Antasya binti Shamsol Jazlisham


Sumber: Irfan Adli



BANGI, 25 Nov - Program Neon Run yang dijalankan sempena Karnival Konvokesyen (KarKon) ke-51 yang sedang berlangsung telah mendapat sambutan menggalakan dari komuniti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan juga orang awam.


Bayaran pendaftaran yang munasabah iaitu sebanyak RM45.00 adalah antara faktor yang menjadikan program Neon Run ini menerima seramai lebih 500 peserta yang menyertai. Dengan mengalu-alukan peserta dari pelbagai lapisan umur dan masyarakat, ia membuatkan program larian berjarak sejauh 3 km mengelilingi UKM ini mendapat sambutan yang meriah.


Menurut Ketua Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM), Citraya, “Walaupun kami menerima penyertaan yang ramai, tetapi keselamatan peserta masih dalam keadaan terkawal. Pihak PBSM sentiasa memastikan setiap check-point mempunyai ahli bertugas untuk memastikan keselamatan semua peserta terjamin.


“Kami juga turut dibantu oleh pihak Wisma Aman bagi memastikan keselamatan lalu lintas terjaga,” ujarnya.


“Walau bagaimanapun, saya menyarankan agar sedikit penambahbaikan program ini dapat dilakukan seperti pihak penganjur lebih menitikberatkan pemilihan laluan yang akan dilalui oleh peserta. Ini kerana terdapat segelintir peserta yang terseliuh dan terjatuh akibat permukaan jalan yang tidak rata dan berlubang.


“Selain itu saya menyarankan supaya pihak penganjur mencari alternatif untuk mendapatkan penambahan pencahayaan yang baik di sepanjang laluan Neon Run kerana faktor jalan yang gelap juga antara penyebab peserta terjatuh dan mengalami kecederaan ringan,” ujar Ketua PBSM itu lagi.


Azmin Mohd Yusof, 39, salah seorang peserta berkongsi, “program ini menyeronokkan kerana ianya dilakukan pada waktu malam. Tetapi saya sedikit terkejut kerana tiada sesi pemanas badan dijalankan sebelum semua pelari dilepaskan.


“Sepatutnya bagi mengurangkan kecederaan kepada peserta, sesi pemanas badan perlu dilakukan terlebih dahulu. Walau bagaimanapun, secara keseluruhannya program ini berjalan dengan baik bagi pandangan saya,” ulas Azmin.


Ummu Aiman, peserta yang juga merupakan seorang penjawat awam berkata, “Saya lebih memilih untuk berlari pada waktu malam kerana cuaca yang tidak panas dapat mengelakkan dari strok haba.


“Pada pendapat saya, pengurusan program ini lebih praktikal kerana sebarang perubahan atau penambahan informasi berkenaan program disampaikan melalui ruang sembang berkumpulan di Whatsapp.


“Saya juga ingin memuji pihak pengurusan kerana tiada sebarang kelewatan berlaku semasa waktu pelepasan peserta. Hal ini secara tidak langsung lebih mengekalkan momentum pelari-pelari Neon Run dalam keadaan bersedia,” kata Ummu Aiman lagi.


Di akhir program Neon Run ini, terdapat sesi penyampaian hadiah di mana Johan mendapat wang tunai sebanyak RM300, Naib johan RM200 dan ketiga membawa pulang sebanyak RM100.


10 views0 comments

Comments

Rated 0 out of 5 stars.
No ratings yet

Add a rating
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page