Oleh: Amirul Naim Baseri
Penyunting: Alis Safra
Sumber: Freemalaysiatoday.com
Kemelesetan ekonomi merupakan igauan mimpi ngeri setiap negara kerana ketika ini merupakan saat genting yang memerlukan kebijaksanaan dan kesungguhan untuk terus kuat menangani situasi tersebut.
Kemelesetan ekonomi adalah penurunan dalam aktiviti ekonomi yang melibatkan sekurang-kurangnya dua suku berturut-turut. Biro Penyelidikan Ekonomi Kebangsaan atau NBER mentakrifkan kemelesetan ekonomi sebagai “penurunan yang ketara dalam aktiviti ekonomi yang tersebar di seluruh ekonomi yang berlangsung lebih daripada beberapa bulan, biasanya dilihat dalam Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK), pendapatan sebenar, pekerjaan, pengeluaran perindustrian dan penjualan borong runcit.
Sejarah kemelesetan ekonomi yang berlaku tercatat pada tahun 2001 dan dianggap kemelesetan ekonomi ringan yang berlaku dalam tempoh 8 bulan. Great Recession atau kemelesetan besar adalah kemelesetan ekonomi besar yang berlangsung selama lebih 18 bulan. Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres menyatakan pandemik COVID-19 merupakan krisis kesihatan paling teruk dalam sejarah PBB dan berpotensi mencetuskan kemelesetan ekonomi terburuk yang pernah direkodkan.
Pandemik atau wabak COVID-19 boleh mencetuskan great recession yang mengambil masa yang lebih panjang. Oleh itu langkah segera mesti diambil sebagai persediaan menghadapi kemelesetan ekonomi. Terdapat 9 Persediaan dan Cara Mengatasi Kemelesetan Ekonomi kesan dari wabak COVID-19 adalah seperti berikut:
Berjimat Cemat
Di waktu pandemik ini mereka yang berjimat cermat akan bertahan lebih lama. Berjimat cermat adalah disiplin diri yang mesti diterapkan bagi mengatasi kemelesetan ekonomi akibat wabak COVID-19. Maka, downsizing cara hidup perlu dilakukan sebagai langkah untuk berjimat cermat dengan hidup di bawah kemampuan dan berhemat dalam perbelanjaan terutama semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Perintah Kawalan Pergerakan dengan hanya duduk dirumah secara tidak langsung telah menjimatkan perbelanjaan pengangkutan, perbelanjaan sekolah, perbelanjaan kerja dan sebagainya. Maka, uruslah kewangan anda dengan bijak dengan langkah berjimat cermat iaitu dengan bijak membuat senarai belanjawan terhadap keperluan perbelanjaan dan penjimatan setiap bulan. Sebaiknya wang bantuan COVID-19 daripada Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat digunakan secara berhemah sambil membina tabung simpanan dan bukannya untuk pembaziran.
Bebaskan Hutang
Bebas hutang adalah pilihan terbaik di saat-saat genting ini. Oleh yang demikian, elakkan berhutang atau membeli apa-apa barangan secara hutang. Bagi mereka yang mempunyai hutang sedia ada, elakkan menambah beban hutang dan membayar hutang untuk persediaan kemelesetan ekonomi. Gunakan kelebihan penangguhan bayaran hutang bank (moratorium) sebaiknya untuk simpanan bekalan kecemasan atau untuk membayar hutang selepas tempoh moratorium 6 bulan. Membayar hutang semasa pandemik ini kedengaran mustahil, namun kita perlu berjimat cermat dan menghadkan perbelanjaan untuk mengelak dari masalah di kemudian hari.
Tindakan membayar hutang dapat memberikan anda peluang lebih cerah dan bertahan lebih lama sekiranya anda menghadapi masalah perniagaan atau diberhentikan kerja.
Terapkan Amalan Menabung
Era pandemik memerlukan kita untuk membina tabung simpanan kecemasan bagi persediaan menghadapi kemelesetan ekonomi. Pakar ekonomi mengalakkan masyarakat untuk menyediakan tabung simpanan kecemasan sekurang-kurangnya 6 bulan gaji untuk mengatasi keadaan pandemik yang menekan ini. Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat dan tempoh moratorium hendaklah digunakan sebaiknya dengan membina tabung simpanan kecemasan untuk menghadapi masa mendatang.
Kerajaan menjangkakan tempoh pandemik ini akan berlarutan selama setahun pada awal pengumuman moratorium dan menggalakkan kita membuat persediaan menghadapi krisis ekonomi tahun 2020 yang boleh menyebabkan kejatuhan nilai wang. Perintah Kawalan Pergerakan menyebabkan harga barangan meningkat dan kejatuhan nilai wang ringgit Malaysia. Namun begitu pemantauan bekalan makanan dan harga bekalan makanan dipantau kerajaan secara berkala bagi mengelakkan sebarang bentuk penganaiyaan mahupun penipuan.
Tambah Ilmu dan Networking
Perintah Kawalan Pergerakan adalah masa sesuai untuk menambah ilmu perniagaan atau pelaburan untuk menjana pendapatan dengan hanya duduk dirumah. Dengan kemajuan teknologi internet dan sebagainya hari ini tidak ada alasan untuk kita tidak mula menambah ilmu serta networking kerana sudah banyak kursus secara atas talian yang wujud untuk membolehkan kita mula menambah ilmu. Selain menambah ilmu, networking juga penting untuk menambahkan sumber kenalan yang boleh membantu kita.
Berhubung semula dengan kawan-kawan lama, bekas rakan sekolah, bekas rakan kerja, keluarga, jiran dan sesiapa saja untuk meluaskan kenalan untuk merapatkan silaturrahim, mendapat ilmu peluang perniagaan. Kini dengan kewujudan Internet, memudahkan lagi proses menghubungi rakan-rakan lama untuk tujuan networking.
Jana Pendapatan Sampingan
Menjana pendapatan tambahan merupakan inisiatif yang terbaik untuk terus hidup di era pandemik ini. Semasa kemelesetan ekonomi global terdapat kemungkinan tinggi sejumlah pekerja diberhentikan kerja dan kebanyakkan perniagaan turut merosot. Cara terbaik untuk mengatasi waktu-waktu sukar adalah dengan menjana pendapatan sampingan bagi menampung perbelanjaan harian. Terdapat pelbagai pekerjaan yang membolehkan kita menjana pendapatan dari rumah. Sebagai contoh menjadi dropship, penulis artikel, freelancer dan banyak lagi.
Menjana pendapatan sampingan ini juga sebenarnya alternatif yang bagus dalam usaha mencungkil bakat terpendam kita. Mungkin sebelum ini kita bekerja sebagai akauntan akan tetapi secara tidak sedar kita mempunyai bakat dalam menulis atau menyediakan kandungan penulisan yang bagus dan diterima ramai.
Kembangkan Pelaburan
Ketika pandemik ini merupakan masa terbaik untuk mengembangkan pelaburan. Harga saham kebiasaannya akan menurun secara mendadak semasa kemelesetan ekonomi global. Anda boleh manfaatkan peluang ini untuk mengembangkan lagi pelaburan. Antara jenis pelaburan lumayan yang boleh dipertimbangkan adalah dalam pelaburan emas dan sektor hartanah di mana nilai saham hartanah akan meningkat dari semasa ke semasa walaupun semasa kemelesetan ekonomi. Waktu PKP adalah masa terbaik untuk cari ilmu dan kembangkan pelaburan dengan mendapat bimbingan dan khidmat nasihat dari perancang kewangan yang berlesen atau pelabur yang berpengalaman. Pastikan mempunyai simpanan atau modal untuk memulakan sebarang perniagaan atau pelaburan.
Pelaburan jangka masa pendek atau panjang tidak penting selagi kita jelas dengan matlamat pelaburan dan matlamat kewangan kendiri kita sudah memadai. Kerana jika kita jelas dengan matlamat dan mempunyai ilmu kita sebenarnya mengurangkan risiko pelaburan yang kita lakukan.
Tingkatkan Prestasi Kerja
Semasa kemelesetan ekonomi kebanyakan perniagaan akan merosot dan pihak majikan terpaksa mengecilkan bilangan pekerja untuk mengurangkan kos perniagaan. Pada waktu kegawatan ekonomi perlu tingkatkan prestasi kerja untuk kekal bekerja. Tingkatkan prestasi kerja dengan melakukan tugas dengan baik, menjadi ketua pasukan dan mewujudkan reputasi untuk kebolehpercayaan akan meningkatkan peluang untuk terus bekerja semasa kemelesetan ekonomi dengan menjadi pekerja paling berharga. Rekod prestasi yang hebat menjadikannya lebih berkemungkinan untuk terus bekerja apabila pekerja lain harus dilepaskan.
Tunjukkan nilai yang anda boleh bawa untuk syarikat dan buktikan kemampuan multi-tasking dalam bekerja untuk menonjolkan diri di dalam sesebuat syarikat untuk meningkatkan peluang untuk terus bekerja. Ini kerana kesukaran mendapatkan kerja lain menyebabkan kita perlu menjamin kerja yang kita perolehi pada ketika ini untuk mengelakkan masalah kewangan di kemudian hari.
Bersihkan Skor Kredit
Bersihkan skor kredit untuk mendapat pinjaman dengan mudah. Ketika zaman kemelesetan ekonom,i akan berlaku lambakan rumah-rumah yang dijual dengan harga di bawah harga pasaran. Namun, perkara ini telahpun berlaku sebelum langkah Perintah Kawalan Pergerakan lagi. Lambakan rumah lelong akibat daripada tunggakan pembayaran bayaran ansuran rumah dengan pihak bank akan menyebabkan harga rumah semakin turun. Sekiranya mempunyai skor kredit yang bersih, masa kemelesetan ekonomi adalah waktu paling sesuai untuk membeli rumah atau bangunan pada harga murah sebagai aset atau pelaburan.
Ketika pandemik ini mereka yang berkemampuan dan mempunyai skor kredit yang bersih berpeluang mengukuhkan aset mereka dan mereka yang tidak berkemampuan mengambil peluang ini untuk mencairkan aset untuk tujuan meneruskan hidup.
Skor kredit yang bersih juga penting untuk mendapatkan pinjaman peribadi untuk membuat bayaran rumah atau menampung bil perubatan yang tidak dijangka sekiranya perkara buruk berlaku seperti kehilangan pekerjaan.
Terus Bertindak
Perkara yang paling penting dalam setiap perancangan adalah bertindak segera tanpa berlengah. Mereka yang cepat bertindak akan mendapat hasil yang cepat. Terus bertindak sekarang untuk bersedia menghadapi kemelesetan ekonomi besar akibat wabak COVID-19. Sesuatu perkara mesti dimulakan dengan tindakan untuk berjaya. Sikap suka berlengah hanyak akan memakan diri ditambah juga dengan zaman era pandemik yang memerlukan kebijaksanaan untuk terus hidup perlukan tindakan yang cepat untuk memastikan kita tidak ketinggalan dan terus keterbelakang.
Pandemik Coronavirus telah memacu ekonomi global ke arah kemelesetan yang memerlukan pembiayaan besar-besaran untuk membantu negara-negara membangun, kata ketua IMF, Kristalina Georgieva. “Adalah jelas bahawa kita telah memasuki kemelesetan” yang akan lebih buruk daripada pada 2009 berikutan krisis kewangan global, katanya dalam taklimat media dalam talian. Jika negara besar dunia telah menghadapi kemelesetan ekonomi, negara membangun seperti Malaysia juga akan merasai gelombang kemelesetan ekonomi yang besar.
Comments