Nadi Bangi
Persembahan Pentas Pesta Tanglung UKM Disambut Meriah
Oleh: Ang Xin Yi
Penyunting: Vanisri Ravi

Bangi, 24 Nov – Persembahan Pentas Pesta Tanglung ke-40 yang bertemakan “ToGather” telah berjaya menarik hampir 3000 orang bersama-sama memeriahkan Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Pesta Tanglung UKM merupakan satu persatuan yang ditubuhkan pada tahun 1980 dan sehingga kini persatuan ini tetap berusaha dan berjuang mengharumkan budaya Tiong Hua.
Konsep persembahan pentas pada tahun ini adalah “Empati” iaitu memahami perasaan antara satu sama lain, dan "ToGather" iaitu tema persembahan ini telah dipersembahkan secara drama panggung dengan menyampaikan mesej kepada para penonton supaya orang ramai mempunyai pemahaman dan perasaan yang lebih dalam terhadap perasaan empati.
Y.B Tuan Hee Loy Sian, Ahli Dewan Kajang sebagai perasmi mengatakan bahawa Pesta Tanglung UKM mengadakan persembahan ini selama 40 tahun dan ini bukan perkara yang mudah dicapai.
“Mewarisi sesuatu budaya lebih susah berbanding dengan bermula sebuah perniagaan, PTUKM dapat aktif dalam perkara ini selama setengah abad, mesti memerlukan kegigihan dan keberanian untuk membuat sesuatu yang baharu,” katanya semasa merasmikan acara ini.
Ketua Pengarah PTUKM ke-40, Lee Jia Hoe (Program Kejuruteraan Awam) pula mengatakan bahawa media sosial dan berita sekarang banyak melaporkan tentang ketidakadilan terhadap orang kurang upaya (OKU) telah membawa idea kepada mereka untuk menekankan isu ini.
“Setiap tahun kami akan menggunakan tema yang berbeza. Dalam persembahan pentas ini, kami telah menggunakan OKU sebagai target kumpulan supaya orang ramai lebih bersikap empati terhadap mereka dan memberikan prihatin kepada golongan ini.” katanya Lee.
Hanum Hayes, seorang pelajar Program Pengajian Bahasa Inggeris, mengatakan kepada penonton kaum lain boleh menyaksikan persembahan ini secara percuma merupakan satu perkara yang sangat baik.
“Ini merupakan kali pertama saya pergi ke persembahan pentas ini dan telah membuka minda saya.
“Persembahan ini tidak membosankan saya dan juga mempunyai sarikata pada tayangan langsung untuk penonton yang tidak memahami Bahasa Cina,” katanya semasa ditemu bual oleh wartawan Nadi Bangi.
Chang Yu Ting, pelajar Program Komunikasi Media pula berkata setiap tahun dia akan datang untuk menyaksikan dan menyokong persembahan ini.
“Tema yang dibina amat baik kerana memberi kesedaran kepada para penonton dan pada masa ini ramai orang kurang mempunyai sifat empati terhadap orang lain.
“Saya juga berharap para penonton mendapat faedah dan memahami mesej yang ingin disampaikan dan mengaplikasikannya di dalam kehidupan.” katanya.
Pada malam itu, juga terdapat persembahan tarian budaya daripada Artisukma UKM sebagai pembukaan acara dan VIP yang turut hadir ialah Duta Promosi Persembahan Pentas Pesta Tanglung ke-40, Owen Yap, Wakil Universiti, Prof. Madya Dr. Chang Peng Kee, dan Pengerusi PTUKM Ho Wei Yan.