Oleh: Farhan Nasir
Penyunting: Ercy Gracella A
SUNGAI PETANI, 29 April – Pertubuhan Rumah Anak Yatim Daerah Kuala Muda kini merayu bantuan orang ramai untuk meneruskan operasi disamping menyediakan kelengkapan yang cukup buat penghuninya yang terjejas sejak perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang pertama pada 18 Mac tahun lalu.
Penyelia pertubuhan tersebut, Zaharah Mohamed Khir berkata rumah ini menempatkan 35 orang anak lelaki yang masih bersekolah yang berasal dari kawasan setempat. Menurut beliau, rumah ini dibangunkan pada tahun 1999 atas tanah yang diwakafkan oleh Jabatan Pertanian dan telah didaftarkan dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) serta Jabatan kebajikan Masyarakat (JKM). Segala pengurusan serta pentadbiran rumah ini amat bergantung kepada sumbangan orang ramai.
JKM ada menawarkan bantuan yang perlu dimohon setiap tahun namun tiada jaminan bagi mereka mendapatkan bantuan tersebut kerana kriteria yang diperlukan untuk permohonan tersebut lulus tidak dapat disempurnakan disebabkan oleh kekangan sumber kewangan. Pejabat Daerah Kuala Muda pula hanya memantau pertubuhan tersebut dari segi pentadbiran dan pengurusan sahaja.
“Buat masa ini, terutamanya diwaktu pandemik COVID-19, keperluan untuk para penghuni akan cuba kami penuhi tapi bukan secara serentak. Kita tengok yang mana paling diperlukan baru kita beli. Contohnya, semasa sekolah ditutup dan belajar secara online, kita beli handphone kepada mana-mana pelajar yang perlukan” kata beliau.
Kaedah yang sama turut digunakan untuk proses penyelenggaraan bangunan dan kemudahan fasiliti yang ada di pertubuhan tersebut. Mana-mana fasiliti yang paling memerlukan penyelenggaraan diutamakan terlebih dahulu.
“Kami memang harapkan bantuan dan sumbangan orang ramai sepenuhnya untuk kos penyelenggaraan dan aktiviti penghuni di sini. Oleh sebab kekangan sumber, kami terpaksa beroperasi dengan 35 orang penghuni daripada kapasiti penuh yang mampu menempatkan antara 50 hingga 60 orang penghuni” ujar Zaharah.
Apabila ditanyakan perbezaan suasana bulan Ramadan sebelum dan selepas PKP, Zaharah menjawab suasananya amat berbeza sebelum PKP dilaksanakan. Orang ramai berebut untuk memberi bantuan makanan dan duit raya. Duit raya yang diterima oleh penghuni akan disimpan ke dalam akaun bank yang didaftarkan atas nama penghuni untuk tujuan kegunaan masa hadapan. Manakala, Ramadan tahun ini, walaupun mereka masih menerima bantuan dan sumbangan untuk berbuka puasa dan bersahur serta ada yang datang untuk berbuka puasa bersahur bersama penghuni, namun, jumlah individu yang terlibat adalah kurang dan terhad kepada bilangan tertentu sahaja.
Penduduk setempat, Rahmah Muhammad Din berkata bahawa golongan-golongan yang tidak bernasib baik terutamanya anak-anak yatim perlu dibantu terutamanya dalam keadaan pandemik COVID-19 sekarang. “Saya berasa sebak bila melihat anak-anak yatim. Tambahan pula lagi beberapa minggu kita nak melangkah ke bulan Syawal. Paling tidak bantuan yang kita hulur sedikit sebanyak dapat menggembirakan mereka. Kita pun dapat pahala. Tak rugi pun” katanya.
Yusof Abdullah juga bersetuju bahawa anak-anak yatim patut diraikan kerana mereka juga adalah masa depan negara kita. “Sama seperti anak-anak lain, kita patut bantu untuk berikan, paling tidak pun keperluan asas. Jangan pula kita nafikan hak mereka. Harta kekayaan yang kita ada sekarang tiada makna jika tidak mampu menolong orang, bahkan dalam harta kita itu ada terselit harta mereka menurut Islam” ujar beliau.
Bagi sesiapa yang ingin menghulurkan bantuan atau hendak memberikan sumbangan, boleh berbuat demikian dengan menghubungi nombor 0174814207 (Zaharah Mohamed Khir).
Σχόλια