Oleh: Alis Awasi
Gambar: Alis Awasi
Penyunting: Amirul Naim Baseri
Debat di antara keberkesanan perubatan secara tradisional dan moden telah menjadi topik hangat dalam kalangan masyarakat. Ada yang berpendapat amalan sihir-menyihir dan ritual membuang sial adalah karut dan menyesatkan lebih-lebih lagi dengan kewujudan teknologi perubatan moden dan canggih. Mereka turut berpendapat keberkesanan ritual perubatan tradisional tidak dapat dibuktikan secara konkrit dan saintifik.
Sungguhpun begitu, kaedah rawatan tradisional termasuklah kaedah perubatan Islam telah dijadikan sebagai alternatif untuk segelintir masyarakat dalam menyembuhkan penyakit yang boleh dirawat di hospital mahupun penyakit mistik. Hal ini dapat dibuktikan, apabila pendekatan rawatan Ruqyah telah diamalkan sejak zaman Rasulullah SAW hingga zaman kini dalam mengubati penyakit.
Konsep Perubatan Islam
Menurut Professor Dato’ Dr Abu Bakar Abdul Majeed, Rektor Universiti Teknologi Mara (UiTM) Selangor, yang dipetik dari buku berjudul 40 Soal Jawab Pengubatan Islam, perubatan Islam merupakan satu bidang atau amalan yang berasaskan ilmu sains perubatan yang mana di dalamnya terkandung paradigma, konsep, nilai dan tatacara yang tidak bercanggah dengan al-Quran dan Hadis. Perubatan Islam tidak dibataskan pada satu rawatan yang tertentu sahaja, sebaliknya segala jenis rawatan yang melibatkan akar kayu, ubatan moden, pembedahan, psikologi dan meta fizik tergolong dengan konsep perubatan Islam. Oleh yang demikian, beliau menyimpulkan bahawa perubatan Islam merupakan sebuah sistem perubatan yang luas dan merangkumi pelbagai bentuk perubatan termasuklah dalam merawat penyakit misteri. Amalan perubatan ini turut dibenarkan syarak selagi tidak bercanggah dengan prinsip asas Islam dan berteraskan konsep tauhid.
Perawat Perubatan Islam
Nadi Bangi sempat menemu bual Ustaz Ashraf Daud yang merupakan perawat di Pusat Rawatan Darussyifa’ Tampin, Negeri Sembilan. Beliau menyatakan pada zaman kini, masih lagi terdapat segelintir masyarakat yang lebih memilih bomoh dan pawang apabila ingin merawat sesuatu penyakit terutamanya penyakit mistik. Namun begitu, masyarakat perlulah peka dan mengambil tahu akan perbezaan di antara seorang dukun dan pengamal perubatan Islam. Jika dilihat pada sejarah perubatan tradisional, sesetengah rawatan yang diamalkan oleh dukun dan pawang pada kebiasaannya menggunakan mantera, jampi serapah yang tertentu dan ubat-ubatan tradisional bagi merawat pesakit mereka.
Rawatan bomoh dianggap membahayakan kerana ia mengamalkan ilmu sihir dan menggunakan khidmat syaitan untuk merawat pesakit. Bukan itu sahaja, kebiasaannya individu yang menggunakan khidmat bomoh dan pawang merupakan golongan yang berhasad dengki untuk memecah-belahkan hubungan serta menganggu kesejahteraan orang sekeliling mereka. Menurut Salahuddin Abdul Aziz Shah, berbeza dengan rawatan perubatan Islam, perawat tradisional akan merawat pesakit mereka dengan mengamalkan teknik santau dengan menggunakan bahasa jawa yang diislamkan lalu menggantikan ia dengan menggunakan alunan ayat-ayat al-Quran, selawat serta doa, minyak urut dan juga air bacaan yang telah dirukyahkan. Oleh itu, rawatan ini adalah selamat digunakan oleh masyarakat termasuklah golongan yang bukan beragama Islam.
Kaedah Rawatan
Ruqyah atau jampi ini boleh dikategorikan kepada dua bahagian iaitu rukyah syar’iyyah yang bermaksud kata-kata yang bertepatan dengan syarak untuk tujuan pengubatan dan kesejahteraan manakala bahagian kedua pula ialah ruqyah syirkiyyah yang merupakan bacaan mentera yang diucapkan untuk memuja jin dan roh jahat. Oleh itu, para ulama telah bersepakat penggunaan ruqyah hanya diharuskan sekiranya rukyah tersebut menggunakan ayat al-Quran atau nama-nama Allah, menggunakan bahasa Arab atau bahasa yang difahami, tidak mempunyai unsur syirik dan beriktikad bahawa Allah sahaja yang mampu menyembuhkan penyakit.
Menurut Ustaz Rohami Bin Yon, pengasas Pusat Rawatan Ar-Raudah menyatakan penggunaan doa merupakan asas yang utama dalam perubatan Islam. Kebiasaannya ruqyah dan doa akan dibacakan oleh perawat kepada pesakit yang disertakan dengan bahan rawatan. Selepas tamat sesi rawatan, pesakit diminta untuk mengamalkan ruqyah, zikir serta doa untuk membantu percepatkan proses penyembuhan dengan izin Allah.
Perubatan Islam di Dunia Moden
Dapat disimpulakan rawatan perubatan Islam masih lagi relevan di mata masyarakat pada hari ini. Setiap perubatan yang diamalkan tidak kira moden atau tradisional mempunyai kebaikan dan bertujuan untuk menyembuhkan sesuatu penyakit. Sebagai umat Islam, kita digalakkan untuk berikhtiar dalam mengubati penyakit yang dialami asalkan ia berlandaskan syariat yang benar dan halal di sisi agama.
Tuntasnya, rawatan ruqyah dan juga moden boleh diamalkan secara seimbang selagi ia tidak memudaratkan seseorang individu. Sungguhpun begitu, masyarakat diingatkan agar tidak mudah percaya dengan tipu helah sesetengah perawat yang tidak bertanggungjawab dan menyalah gunakan kemahiran mereka untuk mengaut keuntungan; sebaliknya menggunakan khidmat rawatan daripada mereka yang menggunakan saluran yang betul.
Comments