top of page
  • Writer's pictureNadi Bangi

Peruntukan RM85.5 Juta JASA Undang Spekulasi

Oleh: Alis Awasi

Penyunting: Amirul Naim Baseri

Sumber : Berita Harian

KUALA LUMPUR, 14 Nov – Peruntukan RM85.5 juta kepada Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) mengundang pelbagai spekulasi daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Pembentangan Belanjawan 2021 oleh Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz pada 6 November yang lalu telah menjadi bahan perbahasan di kalangan ahli-ahli Parlimen kerana segelintir daripada mereka tidak bersetuju dengan jumlah peruntukan yang diberikan kepada JASA.

Segelintir masyarakat turut berpendapat bahawa peruntukan sebanyak itu adalah terlalu besar bagi sesebuah jabatan yang hanya mempunyai jumlah kakitangan yang kecil berbanding jabatan di kementerian lain dan merasakan pihak kerajaan sewajarnya memberikan peruntukan yang lebih besar kepada pihak yang lebih memerlukan terutamanya mereka yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Jika dilihat dari perspektif yang lebih besar, peruntukan tersebut tidak digunakan untuk membayar emolumen pegawai dan kakitangan semata-mata, namun sebaliknya ia akan digunakan untuk perbelajaan lain seperti pengurusan, penyelenggaraan dan pembangunan selain kos perjalanan, sara hidup, pengangkutan dan hospitaliti.

“Saya percaya mungkin sebahagiannya bersifat reaksi spontan selepas mendengar pembentangan belanjawan dan selepas beberapa hari, mungkin semua orang boleh menghadamkannya,” kata Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa, yang dipetik dari sumber Sinar Harian.

Tambah beliau, adalah amat penting bagi ahli-ahli Parlimen untuk bersikap rasional apabila membahaskan belanjawan yang telah dibentangkan dan memberi fokus kepada objektif utama dalam belanjawan tersebut.

Nadi Bangi turut memetik ulasan daripada Dr Kamarul Zaman Yusoff, Pensyarah Kanan Sains Politik Universiti Utara Malaysia (UUM), fungsi utama JASA adalah untuk menjadi penyampai maklumat yang benar kepada rakyat serta menjadi komunikator yang berkesan di antara kerajaan dan juga rakyat.

Belanjawan 2021 dirangka oleh pihak kerajaan berteraskan insentif jangka masa pendek yang berbentuk one-off selain perbelanjaan dan pendapatan jangka panjang bagi memberi penyelesaiaan kepada semua pihak yang rata-rata terkesan akibat pandemik Covid-19. Namun begitu, adalah terlalu awal untuk kita semua meramal ketidakwajaran peruntukan JASA kerana perincian belanjawan masih belum dikeluarkan oleh pihak kerajaan.

557 views0 comments
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page