• Nadi Bangi

PKP 2.0 - Pelanggan Lega Air Asia Kekal Operasi Dengan Bersyarat

Oleh : Harith Ashyraf

Penyunting : Rafaeil Bahri

Sumber : Bangkok Post


BANGI, 12 Jan - Pelanggan Air Asia Bhd berasa lega selepas pengumuman rasmi dibuat oleh syarikat tersebut bahawa perkhidmatan penerbangan domestiknya akan terus kekal beroperasi tetapi dengan bersyarat semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 mulai 13 hingga 26 Januari ini.

Dalam kenyataan rasmi AirAsia berkata, untuk perjalanan penting dalam tempoh ini, para pelanggan mesti mengikut prosedur mendapatkan kebenaran sah daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) terlebih dahulu sebelum berlepas dan perlu mematuhi syarat-syarat kemasukan yang ditetapkan oleh negeri-negeri tertentu.

“Surat kebenaran pergerakan yang telah disahkan oleh pihak polis haruslah pelanggan pamerkan ketika membuat tempahan tiket penerbangan bagi mengelakkan daripada berlaku masalah yang tidak diingini ketika sampai di destinasi mahupun sebelum penerbangan” . katanya.

Sebelum ini, banyak pelanggan yang terjejas dengan jadual penerbangan walaupun sudah dibayar akibat lanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan serta peningkatan kes wabak Covid-19 yang tidak dapat dijangka dengan keadaan semasa.

Nadi Bangi sempat memetik kenyataan daripada Air Asia yang turut mengumumkan berita baik buat pelanggannya yang boleh menangguhkan atau melakukan perubahan terhadap tarikh penerbangan pada bila – bila masa sahaja tanpa bayaran tambahan

“Para pelanggan yang mempunyai tempahan penerbangan antara 13 dan 26 Januari yang tidak dapat melakukan perjalanan dalam tempoh ini boleh membatalkan penerbangan anda secara sukarela dan memilih perubahan tarikh penerbangan tanpa had.

“Perubahan boleh dibuat ke atas mana-mana tarikh penerbangan baharu sebelum 31 Mac 2021 di laluan yang sama tanpa had tanpa bayaran tambahan, tertakluk kepada ketersediaan tempat duduk,” dipetik dari laman rasmi Air Asia.

Menurut pelanggan Air Asia Hazwan Rasyid 25, kini dia tidak perlu berasa bimbang sekiranya mempunyai urusan kerja di luar negeri kerana Air Asia akan meneruskan operasi seperti biasa asalkan mempunyai surat kebenaran yang sah.

“Sebagai seorang pelanggan tetap Air Asia, saya berasa lega kerana syarikat tersebut menjaga servis mereka dengan baik dikala waktu kritikal ini asalkan kami mengikut prosedur yang betul bagi melancarkan urusan penerbangan”, katanya.

Menurut seorang lagi pelanggan Syafiqah Aziz 30, dia mengatakan bahawa kini dia boleh mengubah jadual penerbangan yang telah ditempah sebelum ini dengan lebih fleksibel bergantung kepada keadaan.

“ Saya sepatutnya dijadualkan untuk berlepas ke Kuala Lumpur pada 14 Januari, tetapi saya telah berjaya melakukan perubahan jadual penerbangan disebabkan beberapa faktor tertentu tanpa sebarang caj dikenakan.,” katanya ketika ditemui.

Sementara itu, para tetamu yang terjejas dengan pembatalan penerbangan semasa PKP akan dimaklumkan oleh syarikat penerbangan tersebut melalui emel atau SMS mengenai pilihan yang ditawarkan bagi memudahkan pelanggan.

44 views0 comments

Related Posts

See All