Nadi Bangi
PKPP, MALAYSIA MEMASUKI FASA PEMULIHAN
Wartawan: Nazrin Sarnin
Editor: Vimala Shanmugam

Sumber: Google
PUTRAJAYA, 6 Jun- Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang akan bermula 10 Jun sehingga 31 Ogos depan, seakan memberikan nafas kelegaan kepada orang ramai apabila banyak kelonggaran diberikan, untuk menjalani rutin kehidupan harian berserta piawaian prosedur operasi (SOP) yang telah ditetapkan.
Pelaksanaan PKPP menyaksikan hampir kesemua sektor ekonomi kembali beroperasi dan menjalani proses pemulihan. Tidak terkecuali kegiatan sosial, pendidikan, keagamaan, dan rekreasi, juga telah dibenarkan secara berperingkat.
PKPP ini juga turut memberikan khabar gembira apabila perkara yang ditunggu-tunggu iaitu kebenaran merentas negeri kini dibenarkan. aktiviti pelancongan domestik, perkhidmatan kedai gunting rambut dan salun kecantikan, juga dibenarkan dibuka bermula Rabu ini, selain operasi pasar malam, bazar, dan gerai pasar, bermula 15 Jun berserta SOP yang telah ditetapkan.
Namun begitu masih ada sektor ekonomi yang dilarang sama sekali untuk beroperasi iaitu sektor hiburan seperti kafe siber dan panggung wayang.
Ini merupakan kebiasaan baharu masyarakat dalam menjalani kehidupan dalam usaha memutuskan rantaian Covid-19.
Memetik kata-kata Dr Noor Hisham, Malaysia boleh memutuskan kadar jangkitan Covid-19 tanpa penggunaan vaksin, sekiranya rakyat terus menunjukkan pematuhan tinggi terhadap SOP dan garis panduan yang ditetapkan kerajaan.
Kepatuhan dan disiplin rakyat Malaysia dalam membantu negara meredakan pandemik di negara ini patut dipuji dengan penurunan kes positif Covid-19 dan hanya mencatatkan satu angka kes baru semalam dan menunjukkan perbezaan yang besar berbanding jumlah kes 18 mac yang lalu.
Terdahulu, wujud Kebimbangan pelbagai pihak terhadap kebarangkalian wujudnya 'Kluster Aidilfitri' akibat kelonggaran yang diberikan kerajaan pada Hari Raya Pertama. Namun sangkaan itu meleset sama sekali, kerana kerjasama yang diberikan orang ramai dalam mematuhi panduan yang dikeluarkan oleh kerajaan sepanjang musim perayaan.
Malaysia kini memasuki fasa pemulihan secara menyeluruh dan orang ramai perlu terima hakikat untuk meneruskan hidup dengan kebiasaan baharu ini dan terus mematuhi SOP yang telah ditetapkan tanpa kompromi, kerana ini merupakan cara atau sumbangan yang kita sebagai orang ramai dapat sumbangkan kepada negara sebagai jalan keluar kepada pandemik ini