top of page
  • Writer's pictureNadi Bangi

PKPP: SEKOLAH DIBUKA SEMULA SECARA BERPERINGKAT

Oleh: Nur Zulaikha

Penyunting: Yusliana Yusoff


Sumber: Google

PUTRAJAYA, 7 Jun - Sesi persekolahan akan dibuka secara berperingkat sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang akan bermula pada 10 Jun hingga 31 Ogos ini.


Perkara itu diumumkan oleh Perdana Menteri, YAB Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Yassin ketika mengumumkan kelonggaran dalam fasa terbaru Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) itu dalam perutusan khas yang lalu.


“Untuk makluman saudara-saudari, sekolah akan dibuka secara berperingkat dalam tempoh PKPP ini setelah mendapat nasihat daripada Kementerian Kesihatan,” katanya dalam Perutusan Khas Perdana Menteri mengenai Perintah Kawalan Pergerakan, pada Ahad yang lalu.


“Kementerian Pendidikan akan membuat pengumuman terperinci mengenainya sedikit masa lagi,” katanya.


Menurut garis panduan yang telah dimaklumkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) 4 Jun lalu, hanya pelajar Tingkatan 5 dan Tingkatan 6 akan dibenarkan untuk kembali ke sekolah apabila ia dibuka semula.


Perkara pertama yang dititikberatkan ialah dengan melakukan penyaringan suhu dan hal tersebut merupakan salah satu amalan biasa baru yang perlu dibiasakan oleh pelajar ketika sekolah dibuka semula kelak.


Garis panduan tersebut menyatakan bahawa pelajar, guru, dan pekerja kontrak harus mengambil suhu badan mereka dan direkodkan semasa masuk ke perkarangan sekolah. Tidak hanya itu, sekolah juga harus memastikan pelajar, guru, dan komuniti sekolah menjalani pemeriksaan kesihatan setiap hari sebelum sesi sekolah dimulakan.


Protokol yang dikeluarkan dalam garis panduan ini merangkumi jarak sosial, kebersihan tangan, pemeriksaan kesihatan, pembersihan dan sanitasi, hebahan maklumat langkah kesihatan dan keselamatan, susun atur meja dan aplikasi MySejahtera.


Terdahulu, Muhyiddin mengumumkan bahawa kerajaan akan melaksanakan PKPP bagi menggantikan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang tamat 9 Jun ini.

Jelas Muhyiddin lagi, Malaysia telah memasuki fasa pemulihan dan menerusi PKPP, lebih banyak kelonggaran akan diberikan kepada orang ramai dalam menjalani kegiatan seharian.

21 views0 comments
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page