top of page
  • Writer's pictureMuhammad Haziq Aqmar Amril Nurman

PMPP Sediakan 10 Bas untuk Pelajar Pulang Mengundi

Updated: Nov 15, 2022

Penulis: Muhammad Haziq Aqmar Amril Nurman

Penyunting: Nur Amilya Husna Kamarul Zaman



Sumber: Berita Harian


Bangi, 8 Nov - Persatuan Mahasiswa Pulau Pinang (PMPP) menyahut seruan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dengan menyediakan 10 buah bas bagi pelajar Pulau Pinang di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Lembah Klang untuk pulang mengundi.


PMPP merupakan satu organisasi mahasiswa yang mengumpulkan pelajar dari Pulau Pinang bagi membela nasib dan kebajikan ahlinya. Oleh yang demikian, mereka berusaha menjadi persatuan mahasiswa negeri yang bertanggungjawab terutama dalam isu pulang mengundi.


Menurut Yang Di-Pertua PMPP, Uzair Fadzli (Sarjana Muda Sains Politik, 3) berkata perkara itu jelas menunjukkan PMPP menyambut baik proses demokrasi dan Undi 18 dalam kalangan pelajar.


Persatuan ini turut berjaya mengumpul dana sebanyak RM34,400 untuk menjayakan projek PMPP Balik Mengundi. Kejayaan pengumpulan dana adalah hasil daripada jaringan sosial antara persatuan ini bersama Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan beberapa penyandang ahli parlimen.


“Persatuan Mahasiswa Pulau Pinang UKM telah menjalinkan kerjasama erat dengan kerajaan negeri dan beberapa penyandang ahli parlimen di Pulau Pinang, antaranya ialah ahli parlimen Balik Pulau, Permatang Pauh, Bayan Baru dan Nibong Tebal.


“Jadi kita telah mendapatkan kerjasama dengan memohon kepada penyandang ahli parlimen tersebut dan kerajaan negeri. Sehubungan dengan itu, kita berjaya mendapat maklum balas yang baik daripada pihak penaja tersebut,” ujarnya.


Beliau turut memberitahu bahawa setakat ini, 173 pelajar UKM telah mendaftar dan sasaran yang ditetapkan adalah seramai 400 orang termasuk pelajar daripada Institut Pengajian Tinggi (IPT) lain di sekitar Lembah Klang.


Tambahan beliau, berkemungkinan mereka akan memaksimumkan jumlah pelajar dari UKM seramai 200 orang manakala jumlah selebihnya merupakan pelajar daripada PMPP lain seperti Universiti Islam Antarabangsa, Universiti Malaya, Universiti Teknologi Mara, UniKL dan Kolej Poly-Tech Mara Bangi.


Semua pelajar yang mendaftar dijangka bertolak pada 17 dan 18 November ini bermula sekitar jam 10 pagi dan akan dibahagikan kepada 5 buah bas pada kedua-dua hari berkenaan.


121 views0 comments
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page