top of page
  • Writer's pictureNadi Bangi

Posisi Menjamin Tidur Yang Berkualiti

Oleh : Muhammad Aiman Shaharudin

Penyunting : Nur Liana Afandi


Tahukah anda bahawa posisi tidur yang baik menjamin tidur yang lebih berkualiti. Menurut kajian tinjauan oleh Penyelidikan Nielson Company, seramai 89 peratus masyarakat Malaysia mengalami masalah kesukaran untuk tidur. Kajian yang dilakukan terhadap 500 rakyat Malaysia sebagai responden juga mendapati sebanyak 70 peratus daripada jumlah tersebut mengalami masalah yang sama berikutan pelbagai faktor seperti tekanan, keresahan dan kemurungan.

Kekurangan waktu tidur yang sepatutnya iaitu 6 hingga 8 jam menyebabkan gangguan tumpuan terhadap sesuatu perkara yang dilakukan. Salah satu kajian terhadap sektor pekerjaan di Malaysia melibatkan 17,595 pekerja sebagai responden dari pelbagai organisasi oleh AIA Vital 2019 dengan kerjasama Agensi Penyelidikan Rand Europe dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menyatakan bahawa sebanyak 53 peratus daripada pekerja tidak mendapat tidur yang mencukupi dan menyumbang kepada pengurangan produktiviti kerja kerana mendapati sebanyak 17 peratus pekerja berasa penat dan lesu. Pekerja yang tidak dapat memenuhi keperluan tidur yang mencukupi bukan sahaja memberi kesan negatif kepada kesihatan mental dan fizikal. Malahan, produktiviti terhadap aktiviti harian dan tugasan kerja turut terjejas.


Selain makan, tidur merupakan keperluan setiap manusia yang perlu dinikmati sebaik-baiknya. Kebiasaanya, pengambilan makanan seimbang sentiasa dititikberatkan dan diberi penekanan untuk mencapai tahap gaya hidup sihat. Tetapi, cara tidur yang baik juga memerlukan sedikit pengetahuan agar setiap saat yang digunakan untuk tidur terasa bermakna sebaik sahaja anda terjaga.

Sumber: Google Image Search


Baca lebih lanjut untuk mengetahui bagaimana anda boleh meningkatkan kualiti tidur dengan memilih posisi tidur yang paling tepat untuk anda.


Posisi pertama adalah posisi tidur secara terlentang. Tidur secara terlentang dengan kedua-dua belah tangan disisi juga dikenali sebagai posisi ‘Soldier’. Posisi ini merupakan salah satu posisi yang paling bagus dan disukai oleh askar dan diperakui kebaikannya oleh pakar. Tidur secara terlentang boleh membantu menyelaraskan tulang belakang anda dan membahagikan berat badan ke seluruh tubuh secara sama rata. Anda juga boleh meletakkan bantal kecil di bawah bahagian belakang lutut untuk sokongan tambahan dan keselesaan untuk tidur yang lebih berkualiti.


Sumber: Google Image Search


Antara kebaikannya adalah kedudukan tulang belakang yang rata dapat membantu menyelaraskan tubuh badan dengan lebih mudah. Selain itu dapat mengekalkan postur tulang belakang untuk mengelakkan sakit leher. Pada masa yang sama dapat mengelakkan kedutan di wajah kerana muka anda tidak bersentuhan dengan bantal.

Keburukannya sukar bagi mereka yang berdengkur atau mempunyai “sleep apnea” iaitu gangguan pernafasan ketiku tidur dan akan menjadi penyebab sakit tulang belakang bawah jika tidak disokong dengan betul.


Posisi kedua adalah posisi tidur mengiring. Posisi ini dianggap sebagai posisi tidur paling terkenal oleh National Sleep Foundation, tidur mengiring paling digemari oleh ramai orang disebabkan oleh keselesaan dan banyak kebaikan. Ramai juga doktor yang menyarankan agar anda tidur mengiring ke bahagian kiri kerana ianya membantu mengurangkan tekanan dari organ dalaman anda.

Sumber: Google Image Search


Antara kebaikannya adalah dapat membantu mengurangkan kecenderungan untuk berdengkur dan “sleep apnea”. Meletakkan bantal di antara kedua-dua belah kaki dapat membantu membetulkan tulang belakang anda. Tambahan lagi, lebih kondusif untuk tidur bagi mereka yang mengalami sakit belakang.

Walau bagaimanapun, terdapat keburukan disebalik posisi tidur ini iaitu membuatkan wajah berkedut selepas terlalu lama bersentuh dengan bantal dan boleh menyebabkan sakit bahu. Secara tidak langsung, tidur mengiring belah kanan boleh meletakkan tekanan kepada paru-paru dan perut anda.


Posisi ketiga adalah posisi tidur seperti janin. Hampir sama seperti tidur mengiring, tetapi posisi ini lebih digemari disebabkan ia memberikan keselesaan tambahan buat mereka yang tidak sabar untuk terlena lebih cepat. Posisi tidur seperti janin ini terkenal kerana ianya pilihan terbaik untuk wanita mengandung. Apabila berada dalam posisi ini, biarkan tubuh badan anda relaks ketika meringkuk.

Sumber: Google Image Search


Kebaikannya dapat meringankan beban di bahagian abdomen dan meningkatkan peredaran darah ke jantung. Tidur mengiring ke bahagian kiri juga mengurangkan pedih ulu hati dan refluks asid. Dalam posisi ini memberi keadaan yang lebih baik untuk otak memproses dan membersihkan sisa, yang dapat membantu mencegah kondisi neurologi seperti Alzheimer atau Parkinson. Seterusnya, apabila kesan meringkuk terlalu erat, boleh menyebabkan kesukaran bernafas dan sakit sendi.

Posisi yang terakhir adalah posisi tidur meniarap. Tidur dalam posisi ini tidak memberi anda banyak kebaikan kerana kesan negatifnya jauh lebih banyak berbanding kesan positif. Posisi ini membuatkan kepala berada di satu sisi dan tulang belakang anda tegak dalam keadaan yang luar biasa sepanjang malam, dan boleh menyebabkan kesakitan di bahagian leher dan sakit tulang belakang bawah pada hari yang berikut.


Sumber: Google Image Search


Posisi tidur ini dapat mengurangkan dengkuran sewaktu tidur dan “sleep apnea”. Namun begitu, menyebabkan sakit tulang belakang bawah dan sakit leher. Selain itu, menyebabkan tekanan pada otot dan sendi. Dalam masa yang sama ianya menyebabkan kedut dan kendur di wajah disebabkan muka bersentuh terlalu lama dengan bantal.


Secara keseluruhannya, empat posisi tidur ini mempunyai kebaikannya tersendiri namun, ada juga kesan negatif disebalik gaya tidur ini. Kebaikan cara tidur ini mampu membendung masalah kesihatan yang dialami oleh kita sendiri sebagai contoh “Sleep apnea”. Justeru itu, tidur yang baik dapat meningkatkan tahap kesihatan yang lebih baik dalam kehidupan seharian.


74 views0 comments
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page