top of page
  • Writer's pictureMuhammad Haziq Aqmar Amril Nurman

'Predator' OKU Curi Perhatian Warga Pulau Pinang

Penulis: Muhammad Haziq Aqmar Amril Nurman

Penyunting: Nur Amilya Husna Kamarul Zaman

Sumber Foto: Nadi Bangi


Jangan terkejut kalau tiba-tiba anda ternampak ‘Predator’ berkeliaran atau menunggang motosikal di sekitar Pulau Pinang!


Kejatuhan Hidup

‘Predator’ OKU (Orang Kelainan Upaya) pertama berada di negeri Pulau Pinang. Walaupun mempunyai masalah penglihatan, perkara ini tidak menjadi penghalang buat Encik Mohd Nor Hisham Awang Nang, 48, untuk melakukan minatnya untuk menjadi seorang predator dan menghiburkan orang awam. Beliau disahkan sebagai OKU penglihatan pada tahun 2018 di Hospital Manjung, Perak.


‘Predator’ OKU atau lebih mesra disapa sebagai Encik Hisham ini merupakan bekas pemandu ambulans di Hospital Manjung. Namun begitu, takdir Allah telah menuntukan bahawa beliau perlu bersara dengan lebih awal kerana keadaan mata kanannya yang telah disahkan hilang penglihatan. Beliau mula menyedari penyakit ini pada awal tahun 2016 dan berulang kali melakukan pembedahan demi menyelamatkan matanya. Namun, doktor mengesahkan bahawa tiada lagi cara lain yang boleh dilakukan bagi menyelamatkan mata kanan beliau.


Oleh yang demikian, beliau terpaksa meninggalkan kerjayanya sebagai pemandu ambulans dan bersara dengan lebih awal kerana penglihatannya yang terhad menyebabkannya susah untuk memandu. Hisham kemudiannya mengambil keputusan untuk berpindah ke Pulau Pinang kerana isterinya bekerja di Hospital Pulau Pinang. Hisham perlu menyara diri dengan menjadi penjaja kecil yang menjual ayam gunting di kawasan Hospital Pulau Pinang. Beliau tidak berputus asa walaupun telah disahkan OKU dan masih bersemangat untuk mencari rezeki.


Kemunculan ‘Predator’


Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang ketat susulan Pandemik Covid-19 telah menghalang penjaja kecil sepertinya untuk meneruskan perniagaan. Beliau banyak meluangkan masa di rumah tanpa melakukan apa-apa aktiviti. Akibat daripada kebosanan yang melanda diri, beliau mula memikirkan untuk mencipta sebuah kostum predator kerana minatnya kepada filem tersebut.


Hisham mula melakukan kajian dan membuat kostum tersebut dengan menggunakan jaket penunggang motor ‘ramblers’ yang dibeli di aplikasi Shopee. Beliau hanya mengambil masa selama sebulan untuk menyiapkan keseluruhan kostum buatannya sendiri.

Sumber Foto: Nadi Bangi

Evolusi 'Predator’

Setelah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilonggarkan menjadi Perintah Kawal Pergerakan Bersyarat (PKPB), Hisham mula menunggang motosikal di sekitar kawasan Georgetown dengan memakai lengkap kostum predator berkenaan. Ketika Hisham menunggang motor dengan kostum predator yang lengkap, minyak motornya habis dan beliau terpaksa menolak motornya ke stesen minyak. Perkara tersebut telah menjadi detik permulaan di mana video beliau mula tular. Videonya menjadi tular akibat beliau menolak motor dan video tersebut terus menular ke seluruh Malaysia di dalam pelbagai jenis platform media sosial dengan kapsyen ‘Predator Tolak Motor Kerana Kehabisan Minyak’.

Setelah videonya tular, Hisham telah mendapat perhatian daripada Kelab Predator Johor yang menghasilkan kostum-kostum predator sebagai tujuan perniagaan. Kelab Predator Johor memanggilnya untuk ke Johor bagi memberikan kostum Predator yang sebenar kerana mereka yakin bahawa Hisham boleh membantu melariskan perniagaan mereka. Kostum yang diberikan tersebut bernilai hampir RM 18,000. Setelah mengambil kostum tersebut dari Johor, beliau cuba memakai kostum yang lengkap tersebut di Kuantan apabila beliau ingin pulang ke kampungnya dan ternyata telah mendapat sambutan yang cukup hangat apabila diserbu oleh orang-orang Kuantan.


Semenjak itu, Hisham digelar Predator Malaysia Penang Mai ataupun Predator Penang. Rezeki Hisham semakin bertambah baik selepas itu apabila kerap dipanggil ke pelbagai program dan wang yang diberikan kepada Encik Hisham juga diagihkan kepada beberapa persatuan kebajikan. Hal ini kerana, tujuan beliau melakukan perkara ini adalah kerana minatnya yang ingin menghiburkan orang awam dan bukanlah kerana wang ringgit semata-mata.


Terus Ukir Senyuman


Namun begitu, Hisham tidak dapat menjadi ‘Predator’ selamanya kerana keadaan mata kirinya juga sudah mula teruk sebagaimana mata kanannya. Kini, beliau kerap berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan rawatan mata. Tegasnya, beliau akan terus membuat orang ramai gembira selagi mana mata kirinya boleh berfungsi dengan baik.

Walaupun kini Hisham sudah kehilangan deria penglihatan, tetapi semangat beliau telah membuka mata ramai pihak untuk sentiasa bersyukur dengan apa yang mereka peroleh tanpa mengeluh. Inspirasi dari pengalaman hidupnya telah mengajar kita untuk tidak kita terlalu kecewa dengan apa jua ujian yang menimpa diri kita. Sebaliknya terus kuat dan berusaha untuk menjadi yang terbaik. Ingat bahawa, Allah tidak akan mendatangkan sesuatu ujian yang melebihi kemampuan hambanya.


16 views0 comments

Related Posts

See All
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page