top of page
  • Writer's pictureHaisyadatul

Program BisSiswa Diadakan Buat Pertama Kalinya Selepas Dua Tahun Pandemik

Penulis : Haisyadatul Hurairi

Penyunting : Farena Hani



BANGI, 21 Jun - Buat julung kalinya, Program BisSiswa diadakan di Pusanika, Universiti Kebangsaan Malaysia pada Isnin, 20 Jun, anjuran Pusat Pembangunan keusahawanan dan EKS (UKM-CESMED).


Program ini diadakan bersempena dengan Ekspo Kerjaya dan Keusahawanan yang akan diadakan pada hari Rabu dan Khamis, 23 dan 24 Jun, bertempat di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR).Terdapat lebih daripada 30 buah gerai jualan yang dibuka bagi menyambut dan menarik pelajar untuk menghadiri program ini dan ianya mendapat sambutan yang hangat daripada peserta yang hadir.


Program ini diadakan adalah bagi menjana mahasiswa yang mampu bersaing dalam sektor pekerjaan dan melahirkan mahasiswa yang berupaya merancang pengurusan ekonomi kendiri secara efektif.


Menurut Timbalan Pengarah Pembangunan Keusahawanan Pelajar dan Penyelidikan, Dr Mohammad Azry Khoiri berkata, program ini diadakan bertujuan untuk mengumpul pelajar-pelajar yang mempunyai perniagaan sendiri dan mempromosikan produk mereka dengan lebih meluas. Pelajar-pelajar juga dapat menambah kenalan baharu menerusi program ini.


“Program ini juga bermatlamat untuk (melatih) usahawan-usahawan baru ini (supaya) dapat mengekalkan momentum untuk berniaga agar perniagaan mereka dapat terus dijalankan. Selain itu, program ini juga untuk mengasah kemahiran komunikasi pelajar kerana tidak semua pelajar berani untuk berkomunikasi di hadapan khalayak dan dengan orang yang mereka tidak kenali,” katanya ketika ditemu bual.


Sementara itu, wakil daripada pelajar yang menyertai program ini, Muhammad Muaz, 21, berkata, program ini dapat membantu kemahiran keusahawanan beliau seperti pemasaran dan komunikasi. Beliau juga menyatakan dua elemen kemahiran keusahawanan ini akan diimplementasikan dalam proses untuk menarik minat pelanggan terhadap produk yang dijual.


“Saya berharap dengan menyertai program ini, saya dapat mengembangkan perniagaan bundle saya dengan lebih besar dan dapat membuka kedai bundle yang berkonsepkan kafe pada suatu hari nanti,” ujarnya.


Menurut Anith Shanira, 22, beliau berkata penyertaannya dalam program ini adalah untuk menjual pakaian terpakai miliknya dengan harga yang murah dan berpatutan. Beliau juga menyatakan bahawa ini merupakan kali pertama dia memasuki bidang perniagaan menerusi program yang diadakan.


“Saya mengharapkan program ini akan diadakan lagi kerana dapat menaikkan semangat pelajar-pelajar untuk meneruskan perniagaan mereka, lebih-lebih lagi bagi mereka yang buat pertama kalinya memasuki bidang perniagaan ini seperti saya sendiri,” katanya.


Program BisSiswa telah dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri, Alumni dan Masyarakat, YBhg. Prof. Dato’ Dr. Norazah Mohd Nordin.


29 views0 comments

Related Posts

See All
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page