Nadi Bangi
PROGRAM CHIT CHAT NON-MUSLIM: AJARAN AGAMA ISLAM BUKAN HANYA UNTUK UMAT ISLAM
Oleh: Ravivarma Muniandy
Penyunting: Deena Yasmeen Abdul Ghaffar

Sumber: Facebook GAMIS
KUALA LUMPUR , 13 Mei - Program Chit Chat Non-Muslim yang dianjurkan oleh Jabatan Perpaduan Nasional Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) memberi platform kepada pelbagai kaum untuk membuang prasangka negatif serta memupuk persefahaman antara rakyat Malaysia.
Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) merupakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang menghimpunkan mahasiswa Islam seluruh Malaysia. GAMIS Nasional merupakan cawangan utama GAMIS. Peranan GAMIS Nasional adalah untuk menghimpunkan mahasiswa Islam di sekitar Lembah Klang.
Program Chit Chat Non-Muslim ini disertai oleh pengasas Multiracial Reverted Muslims (MRM), Firdaus Wong dan Pegawai Khas (Hal Ehwal Bukan Islam) Menteri Besar Terengganu, Dr Balachandran Gopal Krishnan. Forum ini turut disertai oleh dua mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) iaitu Liu Jiun Er (Sarjanamuda Komunikasi Media, 2) dan Ravivarma Muniandy (Sarjanamuda Komunikasi Media, 2) sebagai tetamu jemputan.
Kedua-dua mahasiswa UKM berkongsi pengalaman mereka ketika berpuasa serta cabaran-cabaran yang diharungi. Jiun Er memberi penjelasan tentang pengalaman pertama beliau berpuasa.
“Pertama kali saya berpuasa, saya mempunyai seorang kawan yang tolong kejutkan saya untuk bersahur. Namun, sebelum waktu tengah hari saya mula rasa dahaga. Kemudian, pada pukul dua petang saya mula berasa lapar. Saya cuba bertahan untuk selesaikan puasa dan akhirnya berjaya berbuka puasa pada waktunya.”
Ravivarma pula menjelaskan bahawa ini bukan kali pertama beliau berpuasa dan beliau sudah biasa berpuasa tanpa sahur.
“Berpuasa ini bukanlah sesuatu yang baru kepada saya dan saya boleh berpuasa tanpa bersahur terlebih dahulu. Ini kerana saya mula berpuasa sejak sekolah menengah lagi dan ketika saya bersekolah, saya malas untuk bersahur sebelum pergi ke sekolah. Jadi, saya terbiasa berpuasa tanpa sahur.”
Firdaus Wong menjelaskan bahawa agama Islam bukan hanya untuk orang Islam malah untuk semua manusia apabila beliau ditanya sama ada orang bukan Islam boleh mengikuti ajaran agama Islam.
“Agama Islam bukan hanya untuk umat Islam. Al-Quran diberi kepada manusia sebagai petunjuk dan bukannya eksklusif kepada umat Islam sahaja. Jadi sesiapa pun boleh mengikut ajaran Islam.”
Dr Balachandran menambah pula bahawa seseorang itu hanya boleh memeluk Islam jika diizinkan oleh Allah SWT. Beliau menambah lagi bahawa memahami sesebuah agama boleh mengurangkan sikap prejudis antara manusia.
“Kita mengikut sesuatu ajaran bukan hanya dengan niat hendak menukar agama. Seseorang itu hanya boleh memeluk agama Islam sekiranya diizinkan oleh Allah SWT bukannya disebabkan paksaan. Jadi mengikut ajaran yang baik adalah bukan sesuatu yang dilarang.
Semua agama mengajar sesuatu yang baik kepada manusia. Mengenali sesuatu agama akan mengurangkan sikap prejudis seperti Islamofobia.”