• Nadi Bangi

Program Jelajah Kampus Menteri Siri Ke-8 Mendapat Sambutan Hangat

Oleh: Shafiq Muslim

Penyunting: Nor Dina Farhana



Sumber: Facebook Universiti Kebangsaan Malaysia

BANGI - 24 September: Seramai 300 orang pelajar telah hadir dalam Program Jelajah Kampus Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) siri ke-8 yang diadakan di Persada Canselori, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang dihadiri oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.


Gagasan ‘rahmatan lil alamin’ menjadi dasar baharu bagi kerajaan di bawah Pakatan Harapan dalam usaha membentuk imej Malaysia Baharu berkonsepkan ‘Negara Rahmah’ agar lebih membangun pada masa akan datang.


Datuk Seri Dr Mujahid menegaskan bahawa konsep ‘rahmatan lil alamin’ merupakan petikan daripada kitab suci ayat Al-Quran dan bukannya semata-mata diwujudkan oleh kerajaan sekarang, tetapi pihaknya hanya melaksanakan perintah yang dituntut oleh perintah agama Islam dalam mentadbir negara.


“Kementerian saya telah membuat penyelidikan dan menggunakan kembali konsep ini untuk dijadikan sebagai strategi baharu kerajaan bagi mencapai matlamat Malaysia sebagai sebuah negara hebat dan disegani ramai,” kata Mujahid.


Bual bicara yang membincangkan tiga teras utama pembentukan ‘Negara Rahmah’ iaitu ‘rahmatan lil alamin’, maqasid syariah dan model Malaysia dilihat mendapat pelbagai reaksi yang positif dalam kalangan penonton yang hadir.


“Konsep ini adalah suatu konsep yang bagus kerana ia memberi keadilan kepada semua masyarakat dalam negara sekaligus kita sebagai rakyat akan mendapatkan hak yang sepatutnya kita dapat daripada pihak kerajaan,” kata pelajar UKM, Nur Shafiqa Aqila, 20.


Manakala Nursyila, 22, pelajar UKM yang juga turut hadir pula berkata, ‘rahmatan lil alamin’ adalah suatu konsep yang lebih menyeluruh di mana sesuai diamalkan oleh semua golongan masyarakat tidak kira agama di negara ini.


“Konsep ini sangat bagus dipraktikkan di negara Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama kerana jika perkara ini berjaya dilaksanakan, hasrat negara kita untuk menjadi negara maju akan lebih cerah.” katanya.

57 views0 comments

Related Posts

See All