top of page
  • Writer's pictureNorFara Faziera Razali

Program PSYTALK Kupas Ketagihan Pornografi Dalam Kalangan Pelajar

Penulis: Norfara Faziera Moh Razali

Penyunting: Siti Syazreen Mohd Mahdzim

Sumber Foto: Nadi Bangi


BANGI, 18 Jan - "Gejala ketagihan pornografi di Malaysia harus dibicarakan di dalam masyarakat terutamanya di peringkat universiti bagi memastikan isu ini dapat dibendung serta dapat membuka ruang buat pelajar membincangkannya," kata Ketua PsiTra Klinik Psikologi dan Konsultasi (PKPK) Fakulti Sains Sosial dan Kemanusian (FSSK), Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Abdul Rahman Ahmad Badayai. "Cabaran utama dalam mengekang masalah ketagihan ini adalah berpunca dari individu itu sendiri, ramai yang tidak mahu ke hadapan kerana malu dan berada di tahap penafian maka mereka sering memberikan alasan buat mencari bantuan dan mengubah diri mereka. “Seperti semua tahu, isu pornografi ini adalah perkara ‘taboo’ di dalam masyarakat kita namun bagi saya program PSYTALK yang dilangsungkan oleh PSYCLUB kali ini adalah program pertama berjaya membawa isu ketagihan pornografi dan usaha yang baik bagi memberikan pendedahan kepada pelajar,” katanya yang juga merupakan salah seorang panel program ini. Program PSYTALK: Porn Addiction, A Moral Hazard adalah sesi perkongsian yang dilaksanakan oleh Kelab Mahasiswa Psikologi dan Kerja Sosial (PSYCLUB) UKM juga memberikan ruang buat mereka yang terdedah dengan ketagihan ini untuk mendapatkan bantuan. Menurut Ketua Exco Akademik PYSCLUB, Ammar Saybil (Tahun 2), fokus program adalah untuk mendidik pelajar tentang impak kesihatan mental, rohani dan jasmani yang berkait rapat dengan ketagihan pornografi. “Banyak kes dapat kita lihat di media sosial pada masa kini tentang isu rogol, cabul dan gangguan seksual yang berpunca dari ketagihan pornografi yang semakin melarat di kalangan rakyat Malaysia. "Bagi saya, isu yang diketengahkan oleh generasi muda akan lebih didengari dan mampu mendapat perhatian masyarakat pada masa kini maka kami mengambil peluang yang ada dengan memilih isu ketagihan pornografi sebagai tema buat sesi perkongsian kali ini,” katanya. Menurut Zafiratul Husna Daud (Tahun 2, Pelajar Kerja Sosial) program PSYTALK ini memberikan impak positif serta mendedahkan dia kepada ilmu baharu tentang bukan sahaja masalah ketagihan pornografi malahan juga kesan buruk yang bakal dihadapi oleh seseorang. "Saya berpendapat bahawa program ini bukan sahaja memberikan pendidikan dan pendedahan kepada isu ini malahan mengajar saya untuk tidak menilai individu yang sedang atau pernah terjebak dengan ketagihan pornografi ini,” katanya. Menurut statistik laman pornografi terkenal dunia, Pornhub, mendedahkan bahawa masyarakat Malaysia menduduki tangga teratas di Asia dan menduduki tangga keempat di peringkat dunia dalam melayari laman web lucah tersebut pada tahun 2022.

151 views0 comments
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page