top of page
  • Writer's pictureSiti Kamariah Sujeno

Program Sekolahku Universitiku Sebagai Persediaan Murid Tahun Enam ke Alam Sekolah Menengah

Penulis: Siti Kamariah Sujeno

Penyunting: Sharifah Nurhanni Fasihah Wan Narudin

Sumber Foto: Nik Amirul Haqeem


AMPANG, 14 Jan- Seramai 101 orang murid Tahun Enam Sekolah Kebangsaan Bukit Teratai, Ampang meluahkan keterujaan mereka apabila berpeluang mengikuti program Sekolahku Universitiku bersama 52 orang pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia sebagai persediaan menempuh alam sekolah menengah.

Program motivasi anjuran Kolej Ungku Omar (KUO) bersama Kementerian Pengajian Tinggi ini adalah bertujuan untuk memberi pendedahan awal kepada murid mengenai realiti alam persekolahan menengah yang lebih mencabar dari segi mental dan fizikal.

Menurut Pengarah Program Sekolahku Universitiku, Nik Amirul Haqeem Mohd Mokhtar (Sarjana Muda Pendidikan Islam, 2), program ini hanya melibatkan murid Tahun Enam kerana mereka akan beralih dari kehidupan sebagai murid sekolah rendah kepada murid sekolah menengah yang lebih menuntut kematangan dari aspek persediaan diri.

“Murid Tahun Enam sekarang merupakan murid yang mengalami fasa pandemik Covid-19 apabila mereka hampir dua tahun belajar secara atas talian dan keadaan ini sedikit sebanyak telah menyebabkan mereka tidak terdedah dengan dunia luar serta hanya berkurung di dalam rumah sahaja,” katanya.

Program yang dijalankan pada 14 Januari lepas telah mengadakan pelbagai aktiviti menarik yang santai seperti aktiviti kenanganku dimana murid akan menulis kenangan pahit dan manis mereka sepanjang bergelar pelajar sekolah rendah serta juga murid diberikan satu sampul surat untuk mereka tulis kata-kata semangat kepada rakan-rakan mereka tanpa memberitahu siapa penulisnya.

Nik Amirul turut menambah bahawa aktiviti yang dijalankan ini adalah selaras dengan objektif utama program ini.

“Aktiviti yang dijalankan adalah untuk memupuk kreativiti dan inovasi murid dalam berfikir secara kritis di samping menambahkan keyakinan diri mereka terutamanya berucap di hadapan orang ramai,” ujarnya.

Menurut Arissa Nabihah Herman, perkongsian dalam program kali ini memberi ilmu baharu kepada dirinya.

“Banyak perkara baharu yang saya pelajari sebelum saya melangkah ke alam persekolahan menengah yang sememangnya akan menguji kekuatan mental dan fizikal saya,” katanya.

Muhammad Akim Azhar juga meluahkan rasa terujanya kerana program motivasi yang melibatkan universiti ini pertama kali dianjurkan secara bersemuka selepas pandemik.

“Program ini sangat membantu saya terutamanya dalam meningkatkan keyakinan diri untuk bercakap di hadapan orang ramai dan menerokai subjek-subjek yang ada di sekolah menengah kerana silibus pembelajaran juga akan berubah,” katanya.

Basheerah Az-Zahrah Mohd Zabarin juga turut meluahkan rasa bersyukur dan terima kasih kepada pihak Kolej Ungku Omar yang telah mengadakan program di sekolahnya.

“Saya nak mengucapkan terima kasih kepada kakak dan abang fasilitator yang datang dan berkongsi banyak ilmu mengenai persediaan sebelum ke sekolah menengah dan saya berharap agar program seperti ini dapat dilaksanakan pada masa akan datang,” katanya.

Persembahan pelajar wakil dari KUO iaitu Izzati Syazwani memeriahkan lagi majlis penutupan Sekolahku Universitiku yang turut dihadiri oleh Pengetua Kolej Ungku Omar, Profesor Madya Dr. Mohd Shahizan Ali.

93 views0 comments
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page