top of page
  • Writer's pictureNadi Bangi

Projek FKAB Bantu Kurangkan Kadar Kemalangan Jalan Raya

Oleh: Nur Nadzra Natasha Binti Zulkifli

Penyunting: Siti Nurhazira Binti Abu Bakar


BANGI, 13 Okt – Para pelajar dari jurusan Kejuruteraan Awam Tahun 3, Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB) telah menjalankan satu kajian berkaitan penutupan pembahagi jalan di persimpangan masuk Lingkungan Kedua (pintu 3) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bermula pada 30 September 2019.


Kajian yang dijalankan dalam tempoh dua minggu ini oleh para pelajar dari FKAB bertujuan untuk mengenal pasti tahap kemalangan yang berlaku di persimpangan masuk pintu tersebut di mana dalam tempoh percubaan seminggu pertama penghadang jalan akan diletakkan dan percubaan minggu kedua pula penghadang akan dialihkan bagi melihat perbezaan kedua-dua situasi tersebut.


Menurut salah seorang pensyarah yang terlibat di dalam projek ini, Ir. Dr. Razuhanafi Bin Mat Yazid, objektif utama kajian ini adalah untuk mengkaji penutupan sementara simpang pintu masuk Lingkungan Kedua UKM (Pintu 3) bagi tujuan pemantauan kadar kemalangan jalan raya dan aliran trafik di dalam kampus UKM dan kawasan berdekatan.


“Kajian ini juga penting untuk mengusulkan cadangan-cadangan penambahbaikkan bagi memastikan kelancaran lalu lintas di dalam dan sekitar Kampus UKM pada masa hadapan.”


Salah seorang pelajar dari jurusan Kejuruteraan Awam yang terlibat dalam kajian ini, Syaffiq Eszrelle, pelajar Tahun 3, berkata sebagai pelajar dalam jurusan tersebut mereka sangat mementingkan keselamatan dan keselesaan orang ramai dan berharap agar kadar kemalangan di persimpangan tersebut dapat dikurangkan melalui kajian ini.


“Berdasarkan pemerhatian kami setakat tempoh percubaan dalam fasa pertama ini, objektif kajian tercapai kerana apabila penghadang diletakkan maka kadar kemalangan berkurang kerana pusingan U kurang dilakukan oleh para pemandu.”


Penutupan jalan di pintu masuk Lingkungan Kedua (pintu 3) sepatutnya ditutup selama sebulan namun ekoran rungutan daripada ramai pihak, pintu tersebut terpaksa dibuka seminggu selepas tempoh percubaan pertama.

95 views0 comments
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page