top of page
  • Writer's pictureNadi Bangi

Projek Sumbangan Ramadan Agih 240 Pek Juadah Berbuka Kepada Pelajar

Oleh: Haziq Johan

Penyunting: Anis Natasya



KUALA LUMPUR, 2 Mei - Projek Sumbangan Ramadan 2021 yang dianjurkan oleh Exco Kebajikan Persatuan Mahasiswa Fakulti Sains Kesihatan telah mengagih 200 pek makanan kepada pelajar Kolej Tun Syed Nasir dan 40 pek lagi kepada pelajar Kolej Tun Dr Ismail sebagai juadah berbuka puasa dan moreh.


Program ini merupakan hasil kolaborasi bersama Persatuan Mahasiswa Fakulti Pergigian, Persatuan Mahasiswa Fakulti Farmasi dan juga Majlis Eksekutif Pelajar bagi Kolej Tun Syed Nasir. Kolaborasi ini bertujuan bagi mendapatkan dana dan secara tidak langsung sumbangan tersebut dapat diberikan secara menyeluruh kepada semua pelajar dan bukan hanya kepada pelajar tertentu sahaja.


Ketua Pengarah Projek Sumbangan Ramadan 2021, Nazirah Ibrahim menyatakan bahawa program yang dijalankan adalah bertujuan bagi memeriahkan bulan mulia ini dengan berkongsi rezeki bersama para pelajar melalui pemberian sumbangan berbentuk juadah berbuka puasa. Nazirah yang turut bersama-sama dua orang ahli timbalan pengarahnya iaitu Firdaus dan Puteri menjadi penggerak utama dalam memastikan segala aktiviti berjalan dengan lancar kerana dana yang diperoleh perlu diguna sebaik mungkin.


Secara umum pengagihan sumbangan ini telah dijalankan sejak 26 April bermula di Kolej Tun Dr Ismail dan pada 29 April di Kolej Tun Syed Nasir. Walaubagaimanapun, Nazirah menyatakan hari ini merupakan hari yang sedikit berbeza di mana juadah yang dipilih adalah lebih istimewa memandangkan dana yang diterima bukan sahaja daripada persatuan dalaman, malahan melibatkan organisasi luar yang turut menyumbang amat memberangsangkan.


“Memandangkan hari ini merupakan acara rasmi bagi program kami bersama penaja utama iaitu World Assembly of Muslim Youth (WAMY), jadi menu yang dipilih juga adalah sedikit mewah dan istemewa bertemakan hidangan barat berbeza dengan hari-hari sebelumnya di mana kebiasaan menu yang sering dihidangkan adalah seperti nasi dan lauk.”


Menurut Timbalan Pengarah Projek Sumbangan Ramadan, Firdaus menyatakan bahawa sambutan yang diterima adalah sangat baik di mana ramai pelajar sudah mula beratur bagi mendapatkan juadah berbuka sebelum acara dimulakan.


“Sejak awal lagi ramai pelajar sudah mula beratur panjang walaupun persiapan kami masih belum lengkap memandangkan acara belum lagi dimulakan. Sesudah itu kami menerima banyak maklum balas positif bukan sahaja berkaitan dengan menu yang dihidangkan malah tentang program ini yang dirasakan patut diteruskan pada masa akan datang. Menurut data daripada Google Form yang telah kami sediakan, sebanyak 100 peratus pelajar mahukan program ini dijalankan dalam sekala besar.”


Tambahannya lagi, suasana harmoni juga dapat diwujudkan apabila pelajar yang berbilang kaum turut merasai juadah berbuka di bulan Ramadan bersama rakan Muslim yang lain. Juadah yang disediakan adalah terbuka dan boleh diterima oleh sesiapa sahaja tanpa mengira agama dan bangsa.


Disebalik kejayaan program ini, Ketua Pengarah Projek Sumbangan Ramadan turut mengulas tentang cabaran yang dihadapi terutama dari segi pengurusan dana yang mengambil tempoh agak panjang. Setiap proses yang dijalankan perlu diteliti dengan sempurna untuk memastikan pihak organisasi yang terlibat dapat terus dihubungi sehinggalah ke hari program dijalankan.


281 views0 comments
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page